
Sime Darby Property; Mencatat Keuntungan FY2025 Dengan Operasi Cemerlang
KUALA LUMPUR,. Sime Darby Property Berhad mencatatkan satu lagi tahun prestasi kewangan dan operasi yang cemerlang bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY2025), sekali gus mencerminkan pelaksanaan strategi yang berdisiplin serta daya tahan kukuh dalam menghadapi perubahan keadaan pasaran.
Keputusan kewangan tersebut telah diumumkan pada satu taklimat media di Kuala Lumpur pada Jumaat.
Bagi FY2025, Kumpulan merekodkan keuntungan sebelum cukai (PBT) tertinggi dalam sejarah sebanyak RM803.4 juta, selain jualan rekod berjumlah RM4.2 bilion. Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) turut meningkat tiga peratus kepada RM517.7 juta berbanding tahun sebelumnya.
Hasil dan keuntungan operasi masing-masing mencatatkan RM4.2 bilion dan RM895.3 juta. Pada masa sama, syarikat mengisytiharkan jumlah dividen sebanyak 3.20 sen sesaham bagi FY2025.
Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Azmir Merican berkata pencapaian jualan melebihi RM4.0 bilion untuk tahun kedua berturut-turut serta rekod keuntungan sebelum cukai tertinggi membuktikan kejayaan pelaksanaan strategi SHIFT25.
“Sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini, kami telah memperkukuh enjin pembangunan teras dan memperluaskan sumber pendapatan berulang. Inisiatif ini memberi kami keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran sambil meningkatkan nilai kepada semua pihak berkepentingan,” katanya.
Segmen Pembangunan Hartanah (PD) kekal sebagai penyumbang terbesar kepada prestasi Kumpulan, disokong oleh jualan rekod RM4.2 bilion serta kemajuan stabil di tapak projek aktif.
Segmen itu merekodkan hasil sebanyak RM3.9 bilion dan PBT berjumlah RM763.9 juta, dipacu momentum jualan kukuh serta pembangunan berterusan di beberapa perbandaran utama termasuk Bandar Bukit Raja, City of Elmina, Serenia City, Kuala Lumpur Golf & Country Club Resort dan Nilai Impian.
Sementara itu, segmen Pelaburan dan Pengurusan Aset (IAM) mencatatkan hasil dan PBT tertinggi masing-masing sebanyak RM183.9 juta dan RM48.1 juta. Prestasi lebih baik ini didorong sumbangan runcit kukuh daripada KL East Mall, Elmina Lakeside Mall dan KLGCC Mall, selain sumbangan tambahan daripada aset industri BBR Gateway 1 dan 2 selepas pemerolehan.
Segmen berkenaan turut merekodkan keuntungan nilai saksama bersih serta pengurangan kerugian daripada usaha sama, mencerminkan prestasi aset yang semakin baik dan usaha pengoptimuman portfolio.
Sepanjang FY2025, Kumpulan melancarkan produk dengan jumlah Nilai Pembangunan Kasar (GDV) kira-kira RM3.6 bilion. Produk industri menjadi penyumbang terbesar sebanyak 37 peratus (RM1.3 bilion), diikuti kediaman bertanah 36 peratus (~RM1.3 bilion), kediaman bertingkat tinggi 15 peratus (RM520.6 juta) dan komersial 12 peratus (RM434 juta).
Sehingga 31 Disember 2025, jualan belum dibilkan kekal kukuh pada RM3.9 bilion, memberikan keterlihatan pendapatan dan aliran tunai yang stabil bagi tempoh tiga tahun akan datang. Kumpulan turut merekodkan tempahan kira-kira RM1.7 bilion setakat 15 Februari 2026.
Kumpulan juga mengekalkan penarafan AA+IS dengan prospek stabil bagi Program Nota Jangka Sederhana Islam RM4.5 bilion (Sukuk Musharakah), yang disahkan semula oleh MARC Ratings Berhad untuk tahun kelima berturut-turut.
Antara perkembangan utama korporat ialah kemajuan projek pusat pengedaran automatik sepenuhnya bernilai RM450 juta untuk MYDIN di City of Elmina, yang dijangka siap pada 2027 dan akan meningkatkan aset di bawah pengurusan serta pendapatan berulang Kumpulan.
Sime Darby Property turut mengisytiharkan dividen kedua sebanyak 1.70 sen sesaham bagi suku keempat FY2025, menjadikan jumlah dividen tahunan 3.20 sen sesaham dengan jumlah pembayaran RM217.6 juta.
Melangkah ke FY2026, Kumpulan dijangka mengekalkan momentum pertumbuhan, disokong prospek ekonomi Malaysia yang stabil, persekitaran kadar faedah yang menyokong serta aktiviti pasaran hartanah yang berterusan.
Azmir berkata, Kumpulan komited meneruskan transformasi sebagai syarikat hartanah bersepadu melalui kepelbagaian portfolio serta pengembangan aliran pendapatan berulang.
“Kami yakin bank tanah strategik dan saluran projek industri serta kediaman yang kukuh akan membolehkan kami mengekalkan kedudukan kepimpinan dan terus memberikan nilai konsisten kepada pemegang saham,” katanya.
