
Pembatalan PN: Bukti PAS gagal urus organisasi, dakwaan hak BERSATU dinafikan berasas
KUALA LUMPUR,. Keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) membatalkan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) membuktikan bahawa PAS gagal mengurus organisasi berteraskan prinsip demokrasi, urus tadbir yang baik dan sering mengkhianati rakan dalam perjuangan.
Setiausaha Agung BERSATU Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (gambar) berkata perkembangan itu turut membuktikan aduan parti itu pada 11 Ogos lepas yang bertujuan memastikan PN diurus dengan prinsip kebertanggungjawaban, ketelusan dan berintegriti selain mematuhi semua kehendak undang-undang serta Perlembagaan Parti adalah berasas.
Beliau berkata tindakan kepimpinan PN yang dipengerusikan PAS, menafikan hak BERSATU untuk menghadiri, memberi pendapat dan mengundi dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN pada 16 Julai lepas adalah satu kesalahan yang fatal dan pelanggaran Fasal 7.1 Perlembagaan Parti.
“Alasan dan keterangan yang diberikan oleh PAS dalam siasatan yang dijalankan oleh RoS terbukti tidak berasas dan tidak memenuhi kehendak undang-undang dan Perlembagaan PN.
“Tindakan melanggar undang-undang membawa mudarat besar dan nampaknya akan menghancurkan masa depan PN,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, RoS membatalkan pendaftaran PN selepas mendapati penjelasan yang dikemukakan gagal menyangkal asas pembatalan seperti dinyatakan dalam notis sebelum ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Azmin mendakwa kepimpinan PN yang mengetepikan amalan urus tadbir baik dan telus telah menimbulkan keadaan yang disifatkannya sebagai satu ancaman dan tekanan untuk melucutkan keanggotaan serta menggugurkan BERSATU sebagai parti anggota yang sah dalam PN melalui kuasa veto oleh individu yang bukan pemegang jawatan dalam MT PN.
Beliau berkata BERSATU pada 25 Sept lepas mengesahkan bahawa parti itu telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada RoS pada 18 Ogos dan memberikan penjelasan berfakta serta bukti yang menunjukkan bahawa kepimpinan PN telah menafikan hak mereka.
Keputusan RoS itu, katanya, sekali gus membuktikan BERSATU berada di pihak yang benar untuk menyelamatkan PN dan gabungan berkenaan tidak boleh dibenarkan menjadi tempat berteduh kumpulan yang rakus kuasa politik serta cuba merampas jenama PN.
Mohamed Azmin berkata walaupun keputusan RoS amat berat diterima oleh BERSATU sebagai anggota pengasas PN, perkara itu akan dibincangkan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU mengenai langkah seterusnya untuk membina semula keyakinan rakyat.
Sementara itu, Ketua Penerangan Armada BERSATU Malaysia Harris Idaham Rashid mendakwa kegagalan mutlak Pengerusi PN Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam menguruskan tatacara mesyuarat serta keangkuhan mengabaikan beberapa fasal dalam Perlembagaan PN telah menghancurkan sebuah wadah politik.
Beliau mendakwa apabila tampuk pentadbiran gabungan itu bertukar daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Ahmad Samsuri, seluruh institusi PN terus hancur dan punah.
“Ini adalah bukti nyata ketidakcekapan yang amat memalukan… sifat tadbir urus yang meletakkan keputusan penting parti seolah-olah hak milik peribadi tanpa konsensus menyeluruh parti komponen akhirnya memakan diri,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Harris Idaham berkata sayap Armada Bersatu mendesak agar satu pelan penstrukturan semula haluan politik segera digerakkan demi memelihara maruah, hak dan suara tulen seluruh ahli di peringkat akar umbi.
oleh
BERNAMA
