Selangor perluas subsidi pengangkutan awam RM30 sebulan bagi KTM Komuter

Selangor perluas subsidi pengangkutan awam RM30 sebulan bagi KTM Komuter

SHAH ALAM,. Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan perluasan Subsidi Pengangkutan Awam Selangor RM30 Sebulan kepada perkhidmatan KTM Komuter berkuat kuasa serta-merta.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti negeri Ng Sze Han berkata perluasan itu membolehkan manfaat subsidi menjangkau lebih ramai pengguna, melengkapi perkhidmatan Rapid KL On-Demand dan Kumpool yang ditawarkan pada fasa awal.

“Sebelum ini, lebih 90 peratus penerima subsidi memilih Rapid KL On-Demand dengan kumpulan usia 26 hingga 35 tahun menjadi pengguna terbesar, iaitu sebanyak 35 peratus.

“Dengan memasukkan KTM Komuter ke dalam skim ini, kami menyasarkan untuk memberi impak yang lebih besar kepada komuniti di Selangor serta menggalakkan pemanfaatan rangkaian pengangkutan awam secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Perluasan subsidi itu dilaksanakan menerusi Pakej Daya Tahan Selangor, iaitu inisiatif yang bertujuan meringankan beban kos sara hidup rakyat, khususnya pekerja dan pelajar yang bergantung kepada pengangkutan awam untuk perjalanan harian.

Inisiatif itu diuruskan syarikat milik Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor), Rantaian Mesra Sdn Bhd (RMSB) dengan kerjasama penyedia perkhidmatan pengangkutan dan platform pembayaran digital, dengan pelaksanaannya diteruskan hingga Disember 2026.

“Sebanyak 50,000 kuota disediakan di bawah inisiatif subsidi tambang ini dengan kriteria kelayakan pemohon mestilah pengundi berdaftar di Selangor dan kelayakan ditentukan berdasarkan status pendaftaran pengundi, bukan alamat kediaman atau lokasi tempat bekerja semata-mata.

“Liputan perkhidmatan subsidi pula boleh digunakan bagi perkhidmatan KTM Komuter Sektor Lembah Klang, KTM Komuter Sektor Utara dan Perkhidmatan Shuttle Selatan,” menurut kenyataan itu.

Pemohon yang layak perlu mengemukakan permohonan melalui aplikasi Nine dan memilih KTM Komuter sebagai perkhidmatan pengangkutan pilihan dan setelah permohonan diluluskan, subsidi sebanyak RM30 sebulan akan dikreditkan secara automatik ke dalam e-dompet Nine pengguna.

Pengguna juga boleh membeli tiket atau pas perjalanan melalui aplikasi KTMB Mobile atau KITS Style dengan memilih Nine sebagai kaedah pembayaran.

“Kerajaan Negeri Selangor menyeru pengundi Selangor yang layak untuk segera mengemukakan permohonan dan memanfaatkan subsidi ini bagi mengurangkan kos perjalanan harian,” menurut kenyataan itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This