12 operasi pembenihan awan dilaksana sepanjang jerebu rentas sempadan

12 operasi pembenihan awan dilaksana sepanjang jerebu rentas sempadan

KUALA LUMPUR,. Sebanyak 12 siri operasi pembenihan awan (OPA) dilaksanakan di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia dan Sarawak dari 30 Ogos hingga 23 Oktober lepas bagi mengurangkan impak jerebu rentas sempadan yang menjejaskan kualiti udara negara.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memaklumkan operasi itu dilaksanakan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Menurut kementerian itu, operasi berkenaan melibatkan kawasan di utara, tengah dan selatan Semenanjung Malaysia serta Sarawak sepanjang episod jerebu rentas sempadan.

“Operasi tersebut telah menghasilkan hujan di beberapa kawasan sasaran, membantu meningkatkan paras air empangan dan mengurangkan impak jerebu rentas sempadan,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis di portal Parlimen.

Kementerian itu menjawab soalan Datuk Larry Soon (PBM-Julau) mengenai langkah yang diambil kerajaan bagi menangani jerebu rentas sempadan akibat pembakaran terbuka di negara jiran termasuk tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab dan sama ada terdapat syarikat milik Malaysia yang dikenal pasti terlibat dalam pembakaran terbuka tersebut.

NRES memaklumkan kerajaan turut mengaktifkan pelbagai mekanisme kesiapsiagaan termasuk Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan bagi mencegah serta menangani kesan jerebu.

Mengenai penglibatan syarikat milik Malaysia, NRES memaklumkan berdasarkan semakan pihaknya bersama Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), setakat ini tiada maklumat rasmi dan penemuan bukti yang menunjukkan mana-mana syarikat perladangan berkaitan Malaysia terlibat dalam menyebabkan kebakaran hutan atau ladang di Indonesia.

“Walau bagaimanapun, kerajaan memandang serius sebarang dakwaan penglibatan syarikat berkaitan Malaysia dan sebarang maklumat atau bukti yang dikemukakan perlu diteliti bersama pihak berkuasa berkaitan mengikut undang-undang serta bidang kuasa yang terpakai,” menurut kementerian itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This