
Pelaksanaan APB diperkasa, RM17.52 juta disalur tingkat daya saing tanaman
BANGI,. Pelaksanaan Amalan Pertanian Baik (APB) bukan lagi satu pilihan, sebaliknya menjadi keperluan strategik bagi memastikan hasil pertanian negara kekal berdaya saing di pasaran domestik dan antarabangsa.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, selaras pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kementerian menerusi Jabatan Pertanian telah meluluskan peruntukan berjumlah RM17.52 juta bagi Projek Pembangunan Pemberdayaan Makanan Selamat melalui Amalan Baik Subsektor Tanaman.
Menurut beliau, projek berkenaan memberi tumpuan kepada pembiayaan bersasar, naik taraf fasiliti ladang, penerapan teknologi hijau, pensijilan ISO serta pelaksanaan latihan dan pemindahan teknologi bagi meningkatkan daya saing subsektor tanaman.
“Amalan pertanian baik bukan lagi satu pilihan, sebaliknya merupakan keperluan strategik. Pelaksanaannya melalui pensijilan myGAP dan myOrganic telah lama menjadi teras kepada program pengembangan Jabatan Pertanian serta diiktiraf di peringkat antarabangsa, termasuk selari dengan ASEAN GAP.”
“Ini membuktikan bahawa amalan pertanian baik merupakan satu standard global yang perlu dipatuhi sekiranya kita mahu produk pertanian negara kekal kompetitif,” katanya pada Seminar Kebangsaan Amalan Pertanian Baik Malaysia Subsektor Tanaman Tahun 2026, di sini, malam tadi.
Seminar berkenaan menghimpunkan lebih 300 usahawan tani serta pegawai pengembangan dari seluruh negara.
Program anjuran Jabatan Pertanian itu turut menjadi platform strategik bagi memperkukuh kerjasama antara kerajaan dan industri dalam menjayakan agenda kedaulatan makanan negara, selaras dengan tema Amanat Menteri KPKM 2026, “Memperkukuh Kedaulatan Makanan, Membina Daya Tahan Negara.”
