
Quartararo menjadi juara sekali lagi di litar Sepanyol
KUALA LUMPUR,. Pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Fabio Quartararo meneruskan aksi cemerlang dan mencapai penyudah podium keduanya di Grand Prix (GP) Andalusia di Litar Jerez, Sepanyol hari ini.
Pelumba Perancis berusia 21 tahun yang memenangi perlumbaan sulungnya di GP Sepanyol di atas litar yang sama, hujung minggu lepas, memperoleh kemenangan kedua perlumbaan MotoGPnya dengan masa 41 minit 22.666 saat (s) dalam perlumbaan sebanyak 25 pusingan itu.
Kedua-dua pelumba Monster Energy Yamaha — Maverick Vinales dari Sepanyol dan Valentino Rossi dari Itali masing-masing di tempat kedua dan ketiga selepas ketinggalan 4.495s dan 5.546s di belakang Quartararo dalam cuaca panas terik sehingga 38 darjah Celcius, di litar itu.
Bagaimanapun rakan sepasukan Quartararo, Franco Morbidelli yang bermula dari petak kesembilan gagal menamatkan perlumbaan dengan perlumbaan berbaki sembilan pusingan akibat masalah jentera.
“Ia adalah perlumbaan yang amat mencabar. Amat sukar untuk mendapatkan rentak yang baik (pada permulaan perlumbaan ) kerana keadaan cuaca panas tetapi yang paling penting ialah membawa pulang lagi kemenangan,” menurut Quatararo pada sidang akhbar pasca perlumbaan.
“Saya mempunyai dua rancangan, rancangan terbaik ialah Pelan A dan kedua ialah untuk membuat permulaan yang baik.
“Pertama saya cuba untuk mendapatkan jarak yang besar dan kedua ialah berlumba dengan tenang tetapi pelan A berjalan lancar tetapi akhirnya saya mendapat rentak yang baik. Saya berterima kasih kepada Yamaha, keluarga dan rakan saya juga kru teknikal,” katanya.
Dalam Kelas Moto2, dua pelumba Petronas Sprinta Racing — Xavi Vierge menamatkan perlumbaan di tangga kelapan (39:43.512s), tetapi rakan sepasukan Jake Dixon dari Great Britain gagal menamatkan perlumbaan selepas mengalami masalah enjin pada pusingan ke-21.
Pelumba Sprinta Racing Moto3, John McPhee memperoleh kemenangan podium kedua sejak GP Qatar pada Mac dengan menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan masa 39 minit 18.925 saat dalam perlumbaan sebanyak 22 pusingan.
Pelumba Jepun, Tatsuki Suzuki daripada pasukan SIC58 Squadra Corse, memperoleh kemenangan sulung musim ini selepas mencatat masa 39 minit 18.861 saat sementara pelumba Itali, Celestino Vietti daripada SKY Racing Team VR46 di tempat ketiga, 0.134 saat di belakang Suzuki.
Kejohanan Dunia MotoGP 2020n akan bersambung di Litar Brno, Republik Czech, hujung minggu hadapan.
— BERNAMA