Pengorbanan yang mahal untuk saksikan peluncur ais muda beraksi di Olimpik

Pengorbanan yang mahal untuk saksikan peluncur ais muda beraksi di Olimpik

Oleh Vikneswaran A/L Raman

KUALA LUMPUR,. Cita-cita peluncur ais muda Malaysia C. Sree Abiraame mewakili negara di Sukan Olimpik Musim Sejuk , memerlukan pengorbanan yang mahal daripada keluarganya.

Sejak mula mempelajari sukan luncur ais ketika berusia tiga tahun, bapanya Chendren Balakrishnan telah menghabiskan ratusan ribu ringgit dalam menyediakan peralatan, latihan, jurulatih dan menyertai pertandingan untuk bintang yang meningkat naik itu.

Tahun lepas, jurutera itu mengambil keputusan untuk menjual rumah dan kereta serta mengeluarkan sebahagian daripada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi mengumpul kira-kira RM200,000 untuk menghantar isterinya, R. Shyamala menemani anaknya itu berlatih di bawah bimbingan Alexander Ryabinin di International Figure Skating Academy di Riga, Latvia.

Berbekalkan tambahan RM120,000 daripada penajaan Yayasan OMS, Chendren berangkat ke negara Timur Laut Eropah bersama keluarganya pada Januari lepas bagi membolehkan Sree Abiraame memburu impiannya ke Olimpik.

Bagaimanapun penularan pandemik COVID-19 telah menjejaskan rancangan tersebut, disebabkan peningkatan perbelanjaan yang ketara selain keperluan mematuhi prosedur operasi standard baharu serta peningkatan kos sara hidup.

“Berdasarkan kepada pengiraan kami, wang yang ada itu sepatutnya mencukupi untuk membiayai latihan selama setahun di Latvia. Bagaimanapun, pandemik itu menyukarkan kami kerana kadar pertukaran mata wang Euro meningkat berbanding ringgit,” katanya.

Akibat penularan COVID-19, akademi itu mula melaksanakan penjarakan sosial dengan membenarkan hanya seorang berbanding 10 peluncur menggunakan gelanggang pada satu-satu masa bermula Jun lepas. Ia menyebabkan kos latihan untuk tempoh sejam juga meningkat dari 10 Euro (kira-kira RM50) kepada 120 Euro (kira-kira RM594), sedangan dia (Sree Abiraame) perlu berlatih tiga hingga empat jam sehari untuk memenuhi syarat akademi,” katanya.

Beliau berkata itu belum termasuk yuran latihan kira-kira 35 Euro (kira-kira RM174) sejam, namun jurulatih bersetuju untuk mengurangkannya kepada 30 Euro (kira-kira RM149) selepas mempertimbangkan situasi dihadapinya.

Jadi belanjawan melebihi apa yang dirancang sebelum ini dan mereka menghadapi kesukaran walaupun dengan mengurangkan kos, katanya kepada Bernama dan menambah kos program latihan menelan belanja antara RM350,000 hingga RM380,000 setahun.

Sree Abiraame, yang telah memenangi lebih daripada 50 pingat emas dalam pelbagai peringkat pertandingan antaranya mengukir namanya dalam Asia Book of Record (ABOR) sebagai Pemenang Pingat Termuda dalam Luncur Ais Antarabangsa pada 2019 dan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Peluncur Termuda memenangi Kejohanan Luncur Ais “Skates Asia” (Wanita) pada 2017.

Ada ketikanya Chendren merasa putus asa tetapi dia bercadang untuk mencuba lagi melalui sumbangan orang ramai dengan melancarkan Yayasan Sree Abiraame (SREAF) baru-baru ini.

Menurut beliau, SREAF yang bermula Mei lepas, pada awalnya untuk membangunkan sebuah akademi luncur ais di Malaysia dan menggaji jurulatih asing untuk memberi peluang kepada lebih ramai kanak-kanak terlibat dalam sukan itu dengan kos yang lebih rendah.

Bagaimanapun, keadaan sekarang memaksa yayasan itu kini hanya memberi tumpuan dalam mendapatkan penajaan untuk Sree Abiraame.

“Sebelum ini, kami telah bertemu banyak pihak untuk mendapatkan tajaan bagi Abiraame tetapi hanya P. Thiagarajan (Pengerusi OMS) yang bersedia menaja sejumlah RM800,000 untuk tempoh lapan tahun. Mungkin menjadi kesilapan kami menonjolkan kejayaannya kepada orang ramai tetapi merahsiakan segala kesukaran yang mewujudkan persepsi kami tidak menghadapi masalah kewangan,” katanya.

Beliau berkata Sree Abiraame telah menunjukkan peningkatan semasa di Latvia, meningkat daripada tahap tiga kepada tahap enam gaya bebas.

“Kami berharap dia dapat meneruskan latihan setahun lagi di sana untuk mencapai tahap emas dalam gaya bebas serta menyertai Kejohanan Eropah, bagi mempersiapkan Abi untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Musim Sejuk Belia 2024 di Korea Selatan sebelum ke Olimpik Musim Sejuk di Itali,” kata beliau.

Kesukaran yang dialami keluarga itu yang dilaporkan melalui portal berita baru-baru ini telah menarik perhatian Menteri Belia dan Sukan Datuk Reezal Merican Naina Merican.

Reezal kemudian mengarahkan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) untuk mengambil tindakan segera terhadap perkara itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )