Muhyiddin sebagai PM sementara dapat bantu kekalkan pemulihan ekonomi, pelaksanaan vaksinasi

Muhyiddin sebagai PM sementara dapat bantu kekalkan pemulihan ekonomi, pelaksanaan vaksinasi

KUALA LUMPUR,. Pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) sebagai Perdana Menteri sementara selepas beliau meletak jawatan akan membantu mengekalkan usaha pemulihan ekonomi dan kemajuan pelaksanaan vaksinasi yang akan menjadi faktor penting kepada pemulihan negara daripada pandemik.

Ketua Ekonomi Juwai IQI Shan Saeed berkata keputusan itu dapat menyelesaikan sementara masalah politik yang semakin meruncing, menamatkan ketidaktentuan politik di negara ini, sekurang-kurangnya untuk tempoh terdekat.

“Pada pendapat saya, pemulihan ekonomi akan mengambil masa dua atau tiga suku tahun untuk kembali kepada landasannya. Kita telah menyaksikan angka eksport dan perdagangan kekal tinggi sekitar 27 peratus setakat ini pada tahun ini walaupun terdapat halangan di peringkat domestik dan ketidaktentuan di peringkat luaran dalam ekonomi global.

“Prospek Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terus mencabar tetapi asasnya kukuh. Selepas ekonomi dibuka secara berperingkat dan aktiviti ekonomi bermula, kita dapat menjangka momentum akan dijana,” katanya kepada Bernama.

Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 16.1 peratus pada suku kedua 2021 tahun ke tahun berbanding -0.5 peratus pada suku pertama tahun ini. Ekonomi menguncup 17.1 peratus pada suku kedua tahun lepas berikutan langkah kawalan pergerakan yang dikuatkuasakan untuk membendung penularan COVID-19 di dalam negara.

Dalam mengumumkan pertumbuhan suku kedua minggu lepas, Bank Negara Malaysia (BNM) turut menurunkan unjuran KDNK untuk tahun ini antara tiga dan empat peratus daripada enam dan tujuh peratus sebelum ini, sebahagian besarnya disebabkan pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan COVID-19 di seluruh negara.

Shan berkata ekonomi Malaysia telah menunjukkan daya tahan dalam tempoh 18 bulan ini dengan kerajaan mencuba yang terbaik untuk mengekalkan kestabilan ekonomi makro yang merupakan faktor penting kepada pertumbuhan ekonomi.

“Di peringkat global, semua kerajaan perlu bergerak dengan berhati-hati, seiring antara ekonomi dan epidemiologi. Ini bukan tempoh yang mudah untuk menerajui ekonomi semasa pandemik yang mewujudkan situasi tidak menentu dalam ekonomi global.

“Persoalannya ialah secepat mana ekonomi dapat kembali stabil dan faktor penting kepada pemulihan ekonomi ialah memastikan rakyat mendapat vaksinasi untuk mencapai produktiviti buruh dan pertumbuhan ekonomi di peringkat makro. Pada pendapat saya, adalah baik untuk mengekalkan status quo dengan kerajaan semasa,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Isnin berkenan Tan Sri Muhyiddin Yassin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara atau ‘caretaker’ sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata perkara itu diputuskan setelah Seri Paduka berkenan menerima surat peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh Jemaah Menteri yang berkuat kuasa 16 Ogos 2021.

“Ini adalah selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Seri Paduka Baginda hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri baharu untuk mempengerusikan Jemaah Menteri,” katanya dalam kenyataan.

Naib Presiden dan Penganalisis Kanan Moody’s Investors Service, Christian Fang berkata tempoh ketidakpastian politik mungkin berlaku di Malaysia susulan peletakan jawatan perdana menteri oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata bagaimanapun, institusi yang berwibawa dan berkesan di negara ini dijangka dapat mengehadkan kesan tersebut ke atas dasar makroekonomi dan profil kredit, seperti yang dibuktikan ketika episod perubahan politik secara tiba-tiba sebelum ini.

“Pandemik koronavirus masih menjadi risiko utama di Malaysia, berikutan jumlah kes baharu meningkat dan sekatan pergerakan berlanjutan — walaupun ia lebih longgar berbanding semasa suku kedua 2020 — akan terus mempengaruhi pemulihan ekonomi tahun ini.

“Oleh yang demikian, jika defisit fiskal kekal tinggi bagi beberapa tempoh disebabkan rangsangan ekonomi seterusnya atau hasil berkurangan, mengakibatkan pertambahan beban hutang kerajaan berterusan sehingga pihak berkuasa fiskal tidak mampu untuk bertindak, ini berpotensi melemahkan profil kredit Malaysia secara ketara,” katanya.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Politik dan Pentadbiran, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata pelbagai program pemulihan ekonomi rentas peringkat perlu diperkasakan oleh teraju baharu pentadbiran negara dengan mengenepikan perseteruan politik antara parti demi melancarkan proses pemulihan ekonomi secara menyeluruh.

“Apatah lagi kita sedang menuju ke arah Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe12) yang memerlukan kepimpinan baharu negara menyediakan strategi dan pelan perancangan baharu yang jelas ke arah pemulihan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata jika pentadbiran kerajaan baharu ini sukar menyediakan strategi RMKe12 yang komprehensif, negara bukan hanya mungkin tidak mampu keluar daripada kemerosotan ekonomi sedia ada, malah menyebabkan rantaian impak yang lebih menggerunkan terhadap kestabilan ekonomi, sosial dan politik pada masa akan datang.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)