Norainee lancar buku bacaan kanak-kanak

Norainee lancar buku bacaan kanak-kanak

PUTRAJAYA,. Isteri Perdana Menteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman semalam melancarkan Siri Buku Kanak-kanak Seri Manja Saleha, hasil karya Datin Radziah Mohd Daud, di sini.

Siri buku itu mempunyai enam judul iaitu Kasih Ibu, Dari Jendela, Indahnya, Banjir, Dulu-dulu dan Apakah Bangunan Itu?

Pada majlis tersebut, Norainee turut membacakan buku berjudul Apakah Bangunan Itu? di hadapan tiga kanak-kanak.

Norainee dalam ucapannya berkata terdapat pelbagai kaedah untuk kanak-kanak menerima pendidikan antaranya melalui pembacaan, dan pembudayaan membaca seharusnya bermula di peringkat awal pembangunan seorang kanak-kanak.

“Membaca adalah jambatan ilmu dan melalui pembacaan pemikiran seseorang lebih berkembang dan mempunyai imaginasi yang lebih tinggi,” katanya.

Norainee berkata, beliau dimaklumkan Siri Bacaan Seri Manja Saleha itu mempunyai keunikannya, selain jalan ceritanya hampir dengan masyarakat Malaysia yang secara langsung memartabatkan budaya Melayu melalui ilustrasi yang ditonjolkan seperti kesenian rumah tradisional dan hasil kraf tangan Malaysia.

Siri Bacaan Seri Manja Saleha dijual di platform Shopee pada harga RM72.50 bagi satu set yang mengandungi enam judul.

Sementara itu, Radziah berkata penglibatannya dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak lebih empat dekad, telah mencetuskan minat dan hasrat untuk menulis buku yang mencerminkan dunia kanak-kanak di Malaysia.

“Perkongsian ilmu dengan ibu bapa dan para pendidik tentang pemupukan minat membaca kepada kanak-kanak merupakan sumbangan saya kepada pembangunan pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia.

“Penulisan saya merupakan pengalaman yang saya lalui dari kecil hingga sekarang dan saya terjemahkannya dalam bentuk bacaan untuk kanak-kanak,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )