MBSB isytihar dividen 0.86 sen sesaham suku kedua 2026

MBSB isytihar dividen 0.86 sen sesaham suku kedua 2026

PETALING JAYA,. MBSB Berhad (MBSB) mengisytiharkan dividen sebanyak 0.86 sen sesaham bagi suku kedua tahun 2026, susulan prestasi lebih teguh yang dicatatkan Kumpulan dalam suku berkenaan.

Kumpulan mencatatkan prestasi lebih teguh pada suku ini dengan penjanaan keuntungan merentasi pendapatan berasaskan pembiayaan bersih, pendapatan bukan pembiayaan dan keuntungan sebelum cukai. Pertumbuhan ini disokong oleh pengembangan berterusan dalam pembiayaan serta deposit Akaun Semasa dan Akaun Simpanan (CASA).

Pendapatan berasaskan pembiayaan bersih meningkat 4.4 peratus suku ke suku kepada RM272.5 juta, berbanding RM261.1 juta pada suku pertama 2026.

MBSB berkata, peningkatan itu didorong oleh pengembangan asas pembiayaan Kumpulan, manakala margin keuntungan bersih kekal stabil.

Pendapatan bukan pembiayaan mengukuh 9.3 peratus kepada RM79.8 juta daripada RM73 juta, sekali gus melonjakkan pendapatan bersih kepada RM352.3 juta berbanding RM334.1 juta sebelumnya.

Keuntungan sebelum cukai meningkat kepada RM61.4 juta berbanding RM40.8 juta pada suku sebelumnya, mencerminkan sumbangan gabungan daripada aliran pendapatan berasaskan pembiayaan dan bukan pembiayaan, di samping caj kemerosotan nilai yang lebih rendah.

Nisbah CASA mengukuh kepada 16.8 peratus setakat Jun 2026, berbanding 13.7 peratus pada penutup suku pertama, didorong oleh pertumbuhan deposit yang diterajui oleh segmen Perbankan Korporat dan Komersial.

Bagi tinjauan tahun ke tahun, pembiayaan kasar berkembang kepada RM46.9 bilion daripada RM42.9 bilion, diterajui oleh segmen Perbankan Korporat.

Deposit pelanggan turut meningkat kepada RM41.9 bilion berbanding RM37.3 bilion, dengan baki CASA mencatatkan peningkatan sebanyak RM3.6 bilion.

Komposisi deposit yang lebih baik melonjakkan nisbah CASA kepada 16.8 peratus daripada 10 peratus, sekali gus menurunkan kos dana Kumpulan sebanyak 32 mata asas kepada 3.4 peratus.

Kedudukan modal Kumpulan pasca dividen kekal teguh, dengan Nisbah Modal Ekuiti Biasa Tahap 1 (CET1) / Modal Tahap 1 pada paras 17.3 peratus manakala Nisbah Jumlah Modal merekodkan 19.7 peratus.

Kedudukan itu memberikan ruang modal yang luas bagi menyokong aktiviti perniagaan dan inisiatif pertumbuhan yang berterusan.

Nisbah Perlindungan Kecairan pula kekal pada paras sihat iaitu 133.6 peratus, selesa melepasi keperluan kawal selia sebanyak 100 peratus.

CATEGORIES
Share This