
MBSB Bank dan WAZAN UPM salur bantuan Aidilfitri pelajar asnaf UPM
SERDANG,. MBSB Bank telah bekerjasama dengan WAZAN UPM bagi menyalurkan bantuan Aidilfitri berjumlah RM295,200 kepada pelajar asnaf di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, sekali gus menzahirkan strategi pengagihan zakat yang lebih bersasar dan berasaskan keperluan.
Inisiatif tersebut diadakan bersempena Majlis Berbuka Puasa dan Solat Tarawih Bersama DYMM Tuanku Canselor UPM yang berlangsung di Dataran Masjid UPM, semalam.
Majlis itu diserikan dengan kehadiran Sultan Sharafuddin Idris Shah, Tuanku Canselor UPM, serta menyaksikan penyerahan replika cek sebagai simbol komitmen bank dalam menyokong pembangunan generasi bakat Malaysia akan datang.
Menerusi kerjasama tersebut, MBSB menyumbangkan RM295,200 bagi memanfaatkan 984 pelajar asnaf, dengan setiap seorang menerima RM300 sebagai bantuan sara hidup sempena persiapan menyambut Aidilfitri yang bakal tiba.
Data yang dikumpulkan pada Disember 2025 menunjukkan lebih 2,070 pelajar UPM dikenal pasti sebagai asnaf yang memerlukan bantuan kewangan.
Daripada jumlah itu, seramai 1,787 pelajar mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda, diikuti pelajar program Diploma dan Asasi.
Pelajar yang dikategorikan di bawah golongan fakir menghadapi kesukaran kewangan paling serius, khususnya dalam menampung perbelanjaan harian serta membuat persiapan perayaan.
Ditubuhkan pada tahun 2016 dan dijenamakan semula pada 2025, WAZAN beroperasi berteraskan nilai Ihsan (Kasih Sayang), Adil (Keadilan) dan Kecemerlangan.
Unit itu mengurus dana wakaf, zakat dan infak dengan penekanan terhadap ketelusan, disiplin dan akauntabiliti. Melalui kerjasama dengan MBSB Bank, bantuan dapat disalurkan secara lebih bersasar kepada pelajar yang benar-benar memerlukan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank Rafe Haneef, berkata pihaknya berhasrat menjadikan pengagihan zakat lebih responsif dan berimpak tinggi.
“Matlamat kami adalah untuk menggerakkan zakat ke arah model sokongan yang lebih responsif dan bersasar. Ramai pelajar universiti berdepan tekanan kewangan yang serius dan sering terlepas pandang, terutamanya ketika musim perayaan. Melalui kerjasama dengan WAZAN ini, kami menyalurkan bantuan tepat ke tempat yang boleh memberikan kelegaan paling segera dan bermakna,” katanya.
