BELANJAWAN 2027: KDN TERUS KOMITED PERKUKUH KESELAMATAN NEGARA, KEBAJIKAN ANGGOTA

BELANJAWAN 2027: KDN TERUS KOMITED PERKUKUH KESELAMATAN NEGARA, KEBAJIKAN ANGGOTA

KUALA LUMPUR,. Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan terus memberi keutamaan kepada usaha memperkasakan aset, teknologi dan keupayaan penguatkuasaan serta menjaga kebajikan anggota keselamatan menerusi peruntukan Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan esok.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata tumpuan itu merupakan kesinambungan daripada amanah digariskan menerusi Belanjawan 2026 yang telah diterjemahkan kepada pelbagai inisiatif dan tindakan sepanjang tahun ini.

“Antaranya, keupayaan udara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysi (APMM) diperkukuh dengan penerimaan helikopter baharu, manakala keupayaan armada maritim terus ditingkatkan menerusi KM Bendahara serta pembangunan kapal Multi-Purpose Mission Ship (MPMS).

“Dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), penggunaan Body Worn Camera (BWC) diperluas kepada ribuan anggota barisan hadapan bagi memperkukuh profesionalisme dan integriti penguatkuasaan, di samping memberikan perlindungan kepada anggota dan rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Saifuddin Nasution berkata selain peluasan pemakaian kamera badan, teknologi dron dan kecerdasan buatan (AI) turut dimanfaatkan dalam usaha memperkukuh kawalan sempadan negara.

Bagi kebajikan anggota keselamatan, beliau berkata pembinaan, pembaikan dan naik taraf kuarters serta kemudahan tempat bertugas PDRM, termasuk kemudahan Pasukan Gerakan Am telah dilaksanakan.

“Kemudahan operasi baharu turut dirancang dengan mengambil kira kesejahteraan anggota. Markas baharu Pasukan Polis Marin, sebagai contoh, bukan sahaja dilengkapi prasarana operasi seperti rumah bot, bengkel dan jeti, malah turut menyediakan kuarters serta kemudahan kebajikan kepada anggota,” menurutnya.

Turut diberi perhatian dalam agenda kebajikan ialah semakan kadar elaun anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) kepada kadar yang lebih munasabah bagi menghargai masa, tenaga dan khidmat mereka.

Saifuddin Nasution berkata KDN menantikan ikhtiar seterusnya Kerajaan MADANI menerusi pembentangan Belanjawan 2027 bagi meneruskan momentum memperkukuh keselamatan negara berikutan cabaran semasa yang sentiasa berubah dan semakin kompleks.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This