Malaysia mahu gencatan senjata kekal di Gaza – Fahmi Fadzil
KUALA LUMPUR,. Kerajaan Malaysia berharap akan ada gencatan senjata kekal di Palestin dengan gencatan senjata selama empat hari hanya langkah pertama mengakhiri penghapusan etik di bumi Gaza.
Dalam wawancara dengan Al-Jazeera Mubasher yang dikeluarkan hari ini, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata gencatan senjata selama empat hari adalah sesuatu yang Malaysia bersama-sama Indonesia dan negara Islam lain menyambut baik tetapi masih berharap penyelesaian kekal dapat dicapai untuk mengakhiri konflik tersebut.
“Saya fikir ini langkah pertama…saya percaya mungkin banyak lagi yang perlu dilakukan kerana Israel tidak membayangkan untuk menghentikan usaha perangnya, dan ini kepada saya membimbangkan.
“Pada masa sama, kita berharap tidak ada peningkatan konflik terutama di kawasan sempadan, misalnya antara Lubnan dan Israel,” katanya dalam wawancara dengan organisasi media tersebut.
Fahmi berkata Malaysia juga percaya bahawa terdapat keperluan untuk mencapai kata sepakat di peringkat antarabangsa dan kerajaan kerajaan Malaysia bersedia untuk memainkan peranannya, bukan sahaja menyuarakan rasa tidak puas kelewatan gencatan kemanusiaan tetapi juga menantikan kemajuan dalam menghentikan peperangan dan penghapusan etnik.
Semalam, Hamas berkata bahawa ia telah mencapai perjanjian gencatan senjata selama empat hari dengan Israel di bawah pengantaraan Qatar-Mesir selepas 46 hari konflik berdarah di kawasan yang dikepung.
Mengikut perjanjian diusahakan Qatar, Hamas bersetuju untuk membebaskan 50 wanita dan kanak-kanak warga Israel yang ditahan di Gaza sebagai pertukaran bagi 150 tahanan Palestin di penjara Israel.
Perjanjian itu juga termasuk menghentikan semua operasi ketenteraan selama empat hari dan membenarkan 300 trak bantuan kemanusiaan, perubatan dan minyak masuk ke Semenanjung Gaza.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata walaupun Malaysia bukan merupakan pihak yang menandatangani Statut Rom, bermakna ia tidak dapat membawa kes terhadap Israel dan pemimpinnya tetapi Malaysia bersedia membantu dalam kes untuk mendakwa pemimpin Israel atas jenayah perang terhadap rakyat Palestin.
“Malah, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah mmberikan bantuan guaman kepada pasukan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk membawa kes terhadap Israel dan pemimpinnya terbabit dalam penghapusan etnik itu.
“Jadi Malaysia dari satu sudut bersedia membantu dalam kes untuk mendakwa pemimpin Israel atas jenayah perang terhadap rakyat Palestin, khususnya di Gaza,”katanya.
Menjawab soalan sama ada Malaysia akan menghantar tentera ke Palestin, Fahmi, yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, berkata isu ini telah dijelaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen, di mana beliau menyebutkan bahawa pada masa ini, Malaysia tidak mempunyai rancangan untuk berbuat demikian kerana mereka sudah mempunyai pasukan pengaman Batalion Malaysia (Malbatt) di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berpangkalan di Lubnan.
Sementara itu, dalam wawancara berasingan, Fahmi berkata Malaysia menyedari beberapa institusi dan bangunan yang khusus dibina untuk rakyat Palestin di Gaza telah menjadi sasaran serangan Israel.
“Oleh itu, kerajaan Malaysia mungkin perlu meneliti lebih terperinci dalam hal ini kerana kos membinanya melibatkan sejumlah besar dana yang dikumpulkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia,”katanya.
Pada masa yang sama, katanya, Malaysia, sehingga kini, melalui kerajaan dan juga dengan bantuan banyak sektor swasta dan entiti korporat, telah mengumpulkan hampir RM100 juta (kira-kira US$ 22 juta) untuk usaha bantuan kemanusiaan di Palestin.
Menurutnya, keperluan segera dan mendesak rakyat Palestin adalah bantuan makanan dan perubatan.
“Saya fikir ini adalah perkara yang diperlukan dengan segera menjelang musim sejuk,” katanya.
— BERNAMA