Zhafri mahu KL City segera bangkit, fokus berdepan Selangor

KUALA LUMPUR,. Tonggak tengah Kuala Lumpur (KL) City FC, Zhafri Yahya menuntut rakan sepasukan agar segera bangkit dengan melupakan kekalahan 0-3 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Piala Sultan Haji Ahmad Shah, Sabtu lepas.

Zhafri sebaliknya mahu juara Piala Malaysia 2021 itu kembali fokus bagi mengutip tiga mata pada aksi pembuka tirai Liga Super 2022 ketika melayan kunjungan pasukan jiran, Selangor FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Jumaat ini.

Beliau menjangka skuad warga kota itu akan menempuh perlawanan yang sukar apabila melihat Selangor melakukan persiapan lebih rapi pada musim ini.

“Bagi saya perlawanan menentang JDT hari itu sebahagian daripada aksi pemanas badan juga dan persiapan kita pun bukanlah yang terbaik sebelum ini disebabkan kekurangan pemain dalam tempoh pramusim.

“Jadi banyak perkara perlu dilakukan untuk pasukan ubah formasi baharu sebab kita pun ada pemain baharu juga yang perlu mendapatkan kombinasi antara satu sama lain,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia pada Selasa.

Sementara itu, pemain berusia 28 tahun itu yang amat menitikberatkan tahap kecergasan berharap dapat mengelak daripada mengalami sebarang kecederaan musim ini.

Ini kerana selepas menyaksikan beberapa rakan sepasukannya berdepan kecederaan yang tidak diduga pada saat pasukan memerlukan kudrat mereka, Zhafri mengharapkan tiada lagi insiden sama berulang pada musim ini.

“Sebab musim lepas pun kita ada beberapa pemain yang cedera dan tidak boleh beraksi, jadi harap tahun ini kami semua akan bebas daripada kecederaan serius.

“Apa pun, saya mahu lebih fokus dan kekalkan momentum yang ada ketika ini untuk Kuala Lumpur beraksi dengan lebih baik sepanjang musim in,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )