Kukuhkan kerjasama, ketahanan sistem antara fokus tangani ancaman siber

Kukuhkan kerjasama, ketahanan sistem antara fokus tangani ancaman siber

KUALA LUMPUR,. Ancaman siber yang tidak kelihatan kini berpotensi memusnahkan infrastruktur kritikal negara dan bertukar menjadi krisis berskala nasional secara mendadak.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata serangan siber bentuk baharu itu mampu melumpuhkan sistem serta perkhidmatan penting yang menjadi kebergantungan asas masyarakat setiap hari.

Beliau berkata antara infrastruktur kritikal yang berisiko menjadi sasaran pencerobohan siber termasuklah lapangan terbang, pelabuhan, sistem perbankan, fasiliti penjagaan kesihatan serta rangkaian sambungan Internet.

“Gangguan komunikasi boleh menimbulkan ketidakpastian dan panik. Gangguan terhadap sistem pengangkutan boleh menghentikan pergerakan orang ramai dan barangan.

“Gangguan bekalan tenaga boleh melumpuhkan hampir setiap sektor ekonomi kita. Apabila sistem ini gagal berfungsi, perkara yang bermula sebagai serangan yang tidak dapat dilihat dengan pantas boleh meningkat menjadi krisis nasional,” katanya.

Bagi mendepani ancaman itu, beliau menggariskan empat pertimbangan utama ke arah membina daya tahan siber, iaitu pengekalan kebertanggungjawaban manusia, jaminan ketahanan sistem, pelaburan modal insan dan pengukuhan kerjasama.

Mohamed Khaled berkata jaminan ketahanan sesebuah sistem pertahanan bukan lagi sekadar menghalang serangan siber, sebaliknya merangkumi keupayaan untuk bertahan daripada gangguan, pulih dengan pantas dan meneruskan operasi.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Siber Siaga 2026 bersempena dengan pameran Cyber Digital Services, Defence and Security Asia (CyberDSA) 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini pada Isnin.

Sementara itu, Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi kenyataan pada Isnin memaklumkan program Siber Siaga adalah inisiatif strategik utama ATM bagi membina ketahanan siber negara yang komprehensif.

Menurut kenyataan itu, inisiatif yang diterajui oleh Pemerintahan Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (PSEP) itu meletakkan ATM sebagai perintis dalam mengintegrasikan kerjasama strategik pelbagai pihak.

Usaha membina ekosistem ketahanan siber itu menggabungkan kerjasama antara ATM dengan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), CyberSecurity Malaysia serta institusi pengajian tinggi seperti Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Penganjuran yang mengangkat tema Hyperwar: Man, Machine, Decision itu menonjolkan pendekatan proaktif pasukan keselamatan berkenaan dalam menghadapi peperangan generasi baharu yang kini dipacu oleh kecerdasan buatan (AI), automasi dan sistem autonomi.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This