Kegiatan judi dalam talian kaut ratusan ribu ringgit tumpas

Kegiatan judi dalam talian kaut ratusan ribu ringgit tumpas

GEORGE TOWN,. Polis Pulau Pinang menahan tiga lelaki tempatan yang dipercayai terbabit dalam sindiket judi dalam talian menerusi laman sosial Facebook dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Jelutong tengah malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Datuk Zainol Samah berkata tiga lelaki berusia dalam lingkungan 20-an terbabit yang dipercayai diupah oleh sindiket untuk mengendalikan operasi perjudian ditahan pada 12.30 tengah malam hasil risikan dan intipan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Pulau Pinang sejak seminggu lepas.

“Semasa serbuan, pekerja tersebut sedang leka mengendalikan perjudian ‘online’ berkenaan dan siasatan awal mendapati kegiatanitu bermula kira-kira dua bulan lepas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya hasil siasatan mendapati pekerja terbabit dibayar RM2,500 sebulan untuk mengendalikan kegiatan perjudian yang beroperasi 24 jam selain dua daripada mereka didapati mempunyai rekod jenayah lampau.

Siasatan turut mendapati sindiket itu mengaut keuntungan RM150,000 hingga RM180,000 sebulan.

Ketiga-tiga lelaki berkenaan direman empat hari untuk siasatan lanjut dan polis kini giat mengesan ahli sindiket yang lain termasuk dalang utamanya bagi membantu siasatan.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 4 (1) (C) dan Seksyen 4 (1) (A) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana menjalankan kegiatan judi dalam talian, kata Zainol.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )