Jujur beri maklumat diri di premis perniagaan

Jujur beri maklumat diri di premis perniagaan

KUANTAN,. Polis mengingatkan orang ramai supaya memberi maklumat diri yang tepat ketika berkunjung ke premis perniagaan bagi memudahkan proses pengesanan sekiranya berlaku kes positif COVID-19.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata ia berikutan hasil pemantauan pihaknya mendapati masih lagi terdapat individu yang tidak menulis butiran diri dengan lengkap dalam buku maklumat pelanggan yang disediakan di premis perniagaan.

“Kita dapati ada pelanggan yang tidak jujur dengan nama mereka tidak boleh dibaca, nombor telefon tidak jelas, dan perkara ini sukar nak buat pengesanan kontak sekiranya perlu nanti. Saya minta orang ramai lebih bertanggungjawab mengenai perkara ini. Maklumat diri itu sangat mustahak.

“Pengusaha kedai juga harus memainkan peranan untuk memastikan pelanggan mereka menulis rekod peribadi dengan betul, pastikan ada pekerja yang memantau catatan pelanggan itu,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata demikian selepas membuat pemantauan bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Majlis Perbandaran Kuantan di beberapa premis makanan dan sekolah di sekitar daerah Kuantan.

Sementara itu, Mohamad Noor berkata seramai 12 individu termasuk seorang pengusaha premis sebuah pusat snuker di Jaya Gading di sini, telah dikenakan kompaun RM1,000 semalam susulan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan iaitu gagal menyediakan peralatan dan rekod butiran diri.

“Pengusaha premis didapati tidak menyediakan buku maklumat pelanggan manakala 11 pelanggan tidak catat kehadiran mereka. Kita akan minta PBT (pihak berkuasa tempatan) pertimbangkan untuk menarik balik lesen pengusaha tersebut kerana ketidakpatuhan ini tidak wajar dan dilihat sengaja kerana semua orang sedia maklum mengenai perkara itu,” katanya.

Mengulas mengenai pemantauan di sekolah, Mohamad Noor berkata beliau amat berpuas hati berikutan pelajar dilihat memakai pelitup muka, bagaimanapun pematuhan dari segi penjarakan fizikal perlu ditambah baik.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )