MDEC alu-alukan pelaburan digital asing ke Malaysia pasca COVID-19

KUALA LUMPUR,. Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) mengalu-alukan pelaburan digital asing ke negara ini susulan pembukaan semula sektor ekonomi secara berperingkat, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Surina Shukri.

Beliau berkata, MDEC telah membentangkan cadangan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) mengenai usaha untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi digital negara pasca COVID-19 dan berpandangan ia perlu diberikan keutamaan selain mengukuhkan aplikasi dan perkhidmatan berkaitan perniagaan serta berterusan mendigitalkan rakyat bagi mendepani norma baharu.

“Malaysia kini berada pada fasa pemulihan ekonomi, kami berbesar hati menjemput pelabur digital yang ingin meluaskan operasi di negara ini di samping sebagai batu loncatan untuk mereka meneroka pasaran ASEAN yang sangat berpotensi,” katanya ketika berkongsi pandangan dalam sesi webinar selama sejam anjuran MDEC, baru -baru ini.

Webinar bertajuk ‘Pra dan Pasca COVID-19: Ekonomi Digital Malaysia Sebagai Pemacu Pembangunan Baharu’ itu turut disertai dua wakil Bank Dunia iaitu Pakar Teknologi dan Pekerjaannya, Siddhartha Raja serta Penyelidik Kanan Bahagian Ekonomi, Smita Kuriakose.

Mengenai webinar itu, Surina berkata Malaysia melihat keperluan untuk mengadakan sesi dialog melibatkan sektor awam dan swasta bagi mendapatkan maklum balas dan memahami keperluan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan mikro untuk bangkit semula selepas mengharungi tempoh mencabar akibat pandemik tersebut.

Antara perkara lain yang turut dibincangkan semasa webinar itu ialah manfaat yang diperoleh rakyat berhubung dasar perkongsian sektor awam dan swasta termasuk pontensi untuk merancakkan lagi e-dagang apabila aktiviti ekonomi dapat diperluaskan ke seluruh negara melalui penglibatan rakyat yang lebih menyeluruh termasuk golongan B40 dan masyarakat luar bandar.

Beliau berkata, Malaysia juga bersedia mengembalikan kepercayaan kepada pelabur asing kerana negara telah diakui menjadi lokasi pilihan bagi syarikat Fortune 500 dan teknologi digital serta berada pada landasan tepat menjadi Nadi Digital ASEAN berdasarkan ekosistemnya yang dinamik, tenaga kerja yang berdaya saing serta kemudahan infrastruktur digital yang mantap

Sementara itu, Smita Kuriakose berkata, pihaknya teruja untuk mendalami inisiatif Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) yang dilancarkan MDEC sebelum ini, yang menunjukkan negara sentiasa bersedia berdasarkan kepada kemudahan infrastruktur asas yang kukuh serta perkhidmatan logistik bagi memastikan pertumbuhan sektor e-dagang.

Manakala, Siddhartha Raja pula berpendapat Malaysia mempunyai rekod yang baik dalam sektor perkhidmatan di samping memiliki kemudahan infrastruktur dan liputan internet.

“Malaysia telah melabur untuk menikmati tahap infrastruktur seperti yang dapat dilihat hari ini dan berada pada momentum tepat untuk mengembangkan ekonomi digitalnya.

“Bagi tempoh jangka masa panjang Malaysia mungkin boleh menimbangkan untuk meningkatkan kelajuan dan liputan perkhidmatan internet yang lebih baik terutamanya di kawasan luar bandar,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )