Jadikan PRK DUN Chini platform dengar masalah rakyat – Penduduk

Jadikan PRK DUN Chini platform dengar masalah rakyat – Penduduk

PEKAN,. Penduduk dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini berharap kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) ketika ini dapat menjadi platform untuk pemimpin mendengar luahan hati mereka, terutama berkaitan isu setempat.

Isu kebajikan rakyat, pembinaan infrastruktur dan pembangunan ialah antara masalah penduduk di Gugusan FELDA Chini, selain perkampungan tradisional dan Orang Asli, yang perlu diberi perhatian oleh bakal wakil rakyat kawasan DUN itu serta pemimpin kerajaan.

Bagi masyarakat setempat, PRK itu adalah batu loncatan terbaik untuk mereka menyuarakan masalah yang mungkin terlepas pandang dan keluhan belum diselesaikan sejak sekian lama.

Peneroka FELDA generasi pertama, Ibrahim Aman, 69, berkata masalah gangguan bekalan air di kawasan Gugusan FELDA Chini yang berlaku setiap kali musim kemarau melanda sejak 30 tahun lalu, perlu diambil perhatian dan diselesaikan segera.

“Minta tolong selesaikan hal ini dahulu. Percepatkan naik taraf loji air. Cukuplah terpaksa mengangkut air paya yang merah menyala (keruh) itu,” katanya ketika ditemui Bernama.

Pada 2017, Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan RM18 juta untuk membina Kolam Takungan Hiliran (ORS) di muka sauk Sungai Mentiga, namun berlaku kelewatan selepas itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, baru-baru ini berkata kerja pembinaan itu akan bermula September depan dan proses menyiapkannya mengambil masa 12 bulan.

Ia bakal memberi manfaat kepada lebih 33,000 penduduk di sekitar Gugusan FELDA Chini dan kampung tradisional seperti Paloh Hinai, Kampung Mambang, Kampung Padang Rumbia serta Gumum.

Othman Saad, 67, meminta kerajaan menyelesaikan masalah pembinaan rumah generasi baharu FELDA yang terbengkalai sehingga menyebabkan ada dalam kalangan anak peneroka masih menumpang teduh di rumah ibu bapa.

Katanya, kerajaan harus memikirkan mekanisme memudahkan anak peneroka yang bekerja sendiri untuk mengusahakan ladang sedia ada dan membeli rumah, selain menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada belia agar mereka tidak merantau jauh mencari peluang rezeki.

“Daripada buka kepada orang luar untuk membeli rumah, lebih baik menolong mereka (generasi kedua FELDA) ini dulu,” katanya.

Isu infrastruktur asas turut dibangkitkan oleh peniaga buah, Rusdiyah Arkib, 43, yang mahu lampu jalan diperbanyakkan, manakala jalan raya yang mendap dan berlubang diperbaiki demi keselamatan bersama.

“Isu ini jangan diperlekeh sebab ia membabitkan keselamatan. Ketika ini, jalan Salong-Kuantan banyak berlubang disebabkan lori keluar masuk dan sudah ramai orang kampung mengalami kemalangan disebabkan keadaan jalan yang teruk, terutama pada waktu malam,” katanya.

Bagi golongan belia pula, mereka mengharapkan pembinaan kompleks sukan untuk aktiviti beriadah.

Mohd Dinie Jaffar, 25, berkata ini berikutan mereka kini tiada tempat khusus untuk aktiviti sukan seperti gelanggang futsal, sepak takraw dan badminton.

PRK DUN Chini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain, dan dua calon Bebas, iaitu Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin serta Mohd Shukri Mohd Ramli.

Pengundian ditetapkan pada 4 Julai ini. Terdapat 20,990 pemilih berdaftar terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 pengundi awal. – BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )