Ahmad Faizal cadang premis sukan, gimnasium dibuka

Ahmad Faizal cadang premis sukan, gimnasium dibuka

KUALA LUMPUR,. Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mencadangkan agar premis sukan seperti padang dan gimnasium diberi kelonggaran untuk beroperasi, kata Menterinya Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berharap Kementerian Kesihatan (KKM) yang diterajui Khairy Jamaluddin turut menyokong cadangan tersebut supaya mendapat kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Panggung wayang dibuka? Gimnasium, sukan padang? Mungkin perlu dibuka dengan SOP (prosedur operasi standard) ketat. Ramai yang hampir terhenti nafas. Tolonglah,” menurut beliau dalam ciapan di akaun Twitter miliknya hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran operasi pawagam dengan kapasiti 50 peratus di ruang dewan tayangan wayang untuk penonton lengkap vaksin COVID-19 yang memberi kelegaan kepada lebih sejuta penggiat industri kreatif, artis dan pekerja.

Kerajaan juga sebelum ini memberi kelonggaran kepada rakyat dalam Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk melakukan aktiviti sukan luar secara individu tanpa bersentuhan seperti berbasikal, jogging, papan selaju, memancing, ekuestrian, senaman, taichi, memanah dan mendaki.

Turut dibenarkan adalah sukan permotoran, golf, acara perseorangan bagi badminton dan tenis, serta pembukaan premis menjual peralatan sukan, namun operasi fasiliti sukan seperti gelanggang badminton, futsal, pusat boling dan gimnasium masih belum menerima lampu hijau untuk beroperasi.

Sementara itu, Persatuan Pengusaha dan Kompleks Sukan dan Kecergasan Kebangsaan (NSFVOOA) berkata mereka telah mengemukakan cadangan yang merangkumi garis panduan, SOP dan cadangan untuk pembukaan semula sektor itu dengan selamat serta melindungi kemampanan jangka panjangnya semasa pertemuan dengan KBS baru-baru ini.

Presidennya Datuk V. Radhakrishnan berkata ia termasuk program bantuan kewangan untuk pengendali kemudahan gim dan kecergasan, insentif fiskal dan program akar umbi bagi mendidik dan menggalakkan orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif.

“Manfaat latihan dan aktiviti fizikal banyak dan didokumentasikan dengan baik. Kami yakin bahawa kecergasan adalah sebahagian daripada penyelesaian jangka panjang Malaysia bukan sahaja dalam memerangi COVID-19 D-19, tetapi juga agenda kesihatan nasionalnya.

“Sama ada masalah kesihatan mental, penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, masalah kardiovaskular, atau kegemukan, meningkatkan antibodi selepas vaksinasi serta mengurangkan risiko dijangkiti COVID yang teruk, kecergasan dan aktiviti fizikal biasa adalah jawapannya.

“Memandangkan beberapa industri lain seperti hiburan dan sekolah memandu telah diberi lampu hijau untuk dibuka semula semalam, kami berharap industri kecergasan akan menjadi sektor berikutnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )