Liverpool semakin menghampiri kejuaraan EPL.

LIVERPOOL,. Liverpool semakin hampir untuk meraikan kejayaan muncul juara Liga Perdana Inggeris buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun selepas melakar kemenangan 4-0 ke atas Crystal Palace dalam aksi tertutup di Anfield, awal pagi tadi.

Skuad bimbingan Jurgen Klopp akan ditabalkan sebagai juara jika Manchester City gagal menewaskan Chelsea, awal pagi esok atau mencatat keputusan seri apabila mereka bertemu City 2 Julai depan.

Trent Alexander-Arnold, Mohamed Salah, Fabinho dan Sadio Mane masing-masing meledak satu gol buat The Reds dengan pasukan itu ketika ini berkelebihan 23 mata di tangga teratas liga.

“Bayangkan jika stadium ini penuh dan semua orang dapat merasainya secara langsung,” kata Klopp.

“Saya tidak fikir permainan akan bertambah baik kerana pemain saya bermain seperti semua orang ada di stadium.”

Sebelum sepak mula, lagu rasmi Liverpool, ‘You’ll Never Walk Alone’ tetap berkumandang sebagai pembakar semangat buat pemain cuma bezanya ia tidak dinyanyikan lebih 55,000 penyokong setia The Reds.

Sementara itu, Alexander-Arnold memuji komitmen ditunjukkan rakan sepasukan dengan menyifatkan ia antara salah satu prestasi terbaik mereka musim ini.

“Permainan hari ini (awal pagi tadi) lebih baik berbanding Ahad lalu (seri dengan Everton). Kami bermula dengan pantas dan tidak melakukan banyak kesilapan sepanjang perlawanan.

“Sudah pasti ia akan menjadi antara prestasi terbaik kami musim ini,” katanya. – AFP

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )