
HPPK, usaha perkukuh ekosistem keusahawanan mikro negara – KUSKOP
KUALA LUMPUR,. Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus memperkukuh ekosistem keusahawanan mikro negara melalui penganjuran Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) 2025 yang berlangsung di Lurah Semantan, Temerloh, Pahang dari 31 Oktober hingga 2 November lepas.
Karnival ini menghimpunkan lebih 800 usahawan mikro, termasuk peserta daripada program Satu Daerah Satu Industri (SDSI), serta penjaja dan peniaga kecil dari seluruh negara dan peniaga tempatan dari Pekan Sehari Temerloh.
Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, karnival tersebut mencatatkan nilai jualan melebihi RM1 juta dengan potensi pembiayaan mencecah RM4 juta, menjadikan jumlah keseluruhan impak ekonomi sebanyak RM5 juta sepanjang tiga hari penganjuran.
“Sambutan menggalakkan dengan kehadiran lebih 45,000 pengunjung sepanjang karnival ini membuktikan sokongan padu rakyat terhadap sektor penjaja dan peniaga kecil yang terus menjadi pemacu utama ekonomi di peringkat akar umbi,” kata Ewon.
Fokus kementerian kini adalah untuk menggalakkan lebih ramai usahawan mikro beralih kepada penggunaan sistem pembayaran tanpa tunai, platform e-dagang serta strategi pemasaran digital.
Usaha pendigitalan ini dilaksanakan melalui agensi-agensi di bawah KUSKOP termasuk Bank Rakyat, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), SME Corp. Malaysia, TEKUN Nasional dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Antara inisiatif utama ialah program Khemah Jajahan Rakyat oleh Bank Rakyat yang menyediakan kemudahan pembiayaan mikro, khidmat nasihat kewangan serta bimbingan digital bagi memperkukuh peluang ekonomi rakyat di peringkat akar umbi.
Penganjuran HPPK 2025 turut memberikan limpahan ekonomi yang signifikan kepada komuniti setempat, apabila hampir 800 bilik hotel dan inap desa ditempah sepenuhnya, di samping peningkatan mendadak jualan dalam kalangan peniaga tempatan.
Majlis Penutupan HPPK 2025 Peringkat Kebangsaan telah disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bertemakan “Memacu Ekonomi MADANI, Memperkasa Usahawan Mikro”, HPPK 2025 menzahirkan komitmen berterusan KUSKOP dalam memperkukuh daya tahan dan kemampanan ekonomi rakyat, khususnya melalui pemerkasaan digital, pembiayaan inklusif dan pembangunan keusahawanan berterusan.
