SUKMA 2026: NUR AINA Sumbang emas tunggal selangor dalam taekwondo

SUKMA 2026: NUR AINA Sumbang emas tunggal selangor dalam taekwondo

SHAH ALAM,. Selepas empat tahun menceburi taekwondo, atlet Selangor Nur Aina Qistina Nor Maznizar membuktikan tempoh penglibatan dalam sukan itu bukan penghalang untuk mencipta kejayaan apabila meraih pingat emas pada penampilan sulungnya di Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 hari ini.

Pada aksi yang berlangsung di Ideal Convention Centre (IDCC) di sini, atlet berusia 16 tahun itu menyumbang emas buat tuan rumah selepas menewaskan wakil Negeri Sembilan, Mariem Adlydelisha Afea Mohamad Adam, 2-0 dalam acara kyorugi 46 kilogram (kg) wanita.

Nur Aina berkata kejayaan itu cukup menggembirakan selepas segala usaha dan komitmen yang dicurahkan sejak mula mempelajari taekwondo pada usia 12 tahun akhirnya membuahkan hasil pada temasya sukan dwitahunan itu.

“Memanglah (saya mula agak lambat menyertai taekwondo), tetapi ia bergantung kepada usaha masing-masing. Kalau komited ketika latihan, mungkin boleh meraih lebih banyak pencapaian.

“Untuk perlawanan hari ini, saya rasa ada peningkatan sebab lawan sampai habis. Sangat gembira sebab ini SUKMA pertama saya dan dapat emas,” katanya kepada pemberita selepas aksi final.

Sementara itu, wakil Wilayah Persekutuan Loi Kai Hek turut meraih pingat emas dalam kategori 54kg lelaki selepas mengatasi wakil Johor, Faiq Muqhri Syahkir Fauzam, 2-0.

Bagi kategori 49kg wanita, pingat emas menjadi milik Halimah As-Sa’adiyyah Nasir-Tsafe dari Terengganu yang menewaskan wakil tuan rumah S. Jovina Varrsha, 2-0.

Dalam kategori 58kg lelaki pula, wakil Kelantan Wan Alim Husam Wan Lukman meraih emas selepas menewaskan Aidil Hakimi dari Terengganu, 2-1.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This