HKHM 2026: 16 PROGRAM SISIPAN SEMARAKKAN SEMANGAT PATRIOTISME, PERPADUAN RAKYAT

HKHM 2026: 16 PROGRAM SISIPAN SEMARAKKAN SEMANGAT PATRIOTISME, PERPADUAN RAKYAT

KUALA LUMPUR,. Sebanyak 16 program sisipan bakal memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 dalam usaha menyemarakkan semangat patriotisme serta mengeratkan perpaduan rakyat.

Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan Kementerian Komunikasi Harun Ali berkata program berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan sambutan HKHM 2026 dapat dinikmati dan disertai secara inklusif oleh seluruh lapisan masyarakat.

Beliau berkata antara program yang dirangka termasuklah Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG), Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan, Program Ekspresi Merdeka, Karnival Kita MADANI serta pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan kebudayaan lain.

“Program ini merupakan cerminan komitmen kerajaan dalam memastikan sambutan HKHM dapat disemarakkan menerusi pelbagai aktiviti selain menyemai semangat cinta akan negara dalam pelbagai bentuk.

“Sambutan HKHM kali ini tidak hanya tertumpu di Putrajaya, sebaliknya kemuncak acara Sambutan Ambang Merdeka akan diadakan di Stadium Merdeka, (di ibu negara),” katanya ketika menjadi tetamu program Fokus 30 terbitan Bernama Radio di sini, hari ini.

Harun berkata pada Sambutan Ambang Merdeka, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dijadualkan menyampaikan Amanat Merdeka khas di lokasi bersejarah itu bagi menyuntik semangat perjuangan dan menyatukan tekad rakyat Malaysia menjelang detik 12 tengah malam.

Beliau berkata antara tarikan baharu yang diperkenalkan tahun ini ialah acara “Melukis Senja” yang menampilkan pertunjukan udara oleh Aero 3 dengan aksi aerobatik termasuk menghasilkan kepulan asap serta bunga api di ruang udara Putrajaya.

Dalam pada itu, Harun berharap rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat dapat bersama-sama menghayati sambutan HKHM tahun ini kerana “harga” kemerdekaan yang dinikmati hari ini bukanlah sesuatu yang murah atau mudah diperoleh.

“Saya menyeru seluruh rakyat agar menzahirkan semangat cinta akan negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang sebagai manifestasi rasa bangga dan bersyukur menjadi sebahagian daripada warga Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Harun turut menyempurnakan Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada warga Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bagi menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan.

Orang awam yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai susun atur program sepanjang sambutan HKHM 2026 boleh melayari laman web rasmi melalui www.merdeka360.my.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This