Guardiola perlu ikut jejak Zidane lengkap misi di City

Guardiola perlu ikut jejak Zidane lengkap misi di City

LONDON,. Pep Guardiola kini perlu mengikuti jejak langkah pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane bagi melengkapkan misinya di Manchester City.

Pasukan kendalian Zidane dijadual berkunjung ke Manchester untuk mengubah keputusan aksi pertama timbal balik dimenangi City 2-1 pada Februari dalam saingan Liga Juara-Juara yang kembali bersambung selepas lima bulan tergendala susulan pandemik COVID-19, Jumaat ini.

Banyak perubahan yang berlaku sejak kedua-dua pasukan bertemu. Skuad kendalian Zidane sekali lagi mampu ‘mengganggu gugat’ penguasaan Barcelona dalam saingan La Liga dengan meraih 10 kemenangan berturut-turut selepas jadual saingan utama Sepanyol itu kembali berlangsung pada Jun sebelum muncul juara bagi musim ini.

Zidane sudah membawa Madrid kepada kejayaan di Liga Juara-Juara pada musim pertamanya mengendali pasukan dari tahun 2016 ke 2018 dan dia masih belum tersingkir daripada kejohanan berkenaan selaku seorang jurulatih.

“Apabila dia sudah melakukan apa yang sepatutnya, memenangi Liga Juara-Juara tiga kali berturut-turut, meraih dua gelaran La Liga daripada Barca – dalam dekad ini – menguasai kejohanan ini bukan seperti kelab lain, ini menunjukkan kemampuannya,” kata Guardiola.

“Meskipun ramai yang tidak percayakan saya kerana dia dari Real Madrid, saya sangat gembira semuanya berlangsung dengan baik sekali kerana ini adalah sesuatu yang baik untuk bola sepak apabila ia berjalan dengan baik bagi seseorang sepertinya.”

Guardiola sendiri pernah menjulang 14 trofi dalam empat musim di Camp Nou antara 2008 hingga 2012, termasuk dua gelaran Liga Juara-Juara.

Gelaran liga dan piala berterusan buat Guardiola di Bayern Munich dan Manchester, namun dia belum merasai kejayaan di kejohanan kelab elit Eropah sejak 2011.

Meskipun meraih dua gelaran Liga Perdana Inggeris selain enam trofi utama sejak tiba di England, Guardiola pada awal musim mengakui kehadirannya di City mungkin boleh dianggap sebagai satu kegagalan sekiranya dia tidak memenangi Liga Juara-Juara.

Tekanan ke atas City berkurangan sejak aksi timbal balik pertama selepas penggantungan dua musim daripada menyertai kejohanan Eropah dibatalkan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan, sekali gus membawa makna aksi bulan ini bukanlah peluang terakhir mereka memenangi Liga Juara-Juara.

“Sudah tentu, kami mempunyai peluang untuk bersaing (pada musim depan) tetapi situasi yang dialami ini tidak akan datang semula,” kata Guardiola. “Saya fikir kelab besar tidak akan mengenepikan peluang yang ada untuk terus mencuba sehabis baik.”

– AFP

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )