Fleksibiliti sementara untuk Sykt Tersenarai Awam, REIT dalam penerbitan saham hak baharu – SC

Fleksibiliti sementara untuk Sykt Tersenarai Awam, REIT dalam penerbitan saham hak baharu – SC

KUALA LUMPUR,. Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia Bhd (Bursa Malaysia) telah memperkenalkan langkah bantuan sementara yang membolehkan penerbit tersenarai yang layak mendapat persetujuan pemegang saham pada mesyuarat agung untuk melakukan pelaksanaan penerbitan saham hak.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan hari ini, SC dan Bursa Malaysia berkata fleksibiliti sementara itu untuk membolehkan pelaksanaan terbitan hak oleh Syarikat Tersenarai Awam (PLC) dan Real Estate Investment Trust (REIT) dimulakan menerusi rangka kerja penerbitan hak saham yang dipertingkatkan.

Rangka kerja itu membolehkan PLC dan REIT menerbitkan saham hak atau unit baharu kepada pemegang sekuriti yang sedia ada secara pro-rata, hingga 50 peratus daripada jumlah saham yang diterbitkan atau unit diterbitkan.

“Langkah terbitan saham hak yang dilaksanakan dengan mandat yang diperoleh di bawah bantuan sementara itu tertakluk kepada syarat-syarat tertentu, contohnya terbitan hak tersebut mestilah penerbitan biasa yang hanya dapat digunakan untuk saham atau unit biasa dan bukan jenis sekuriti lain seperti waran atau saham boleh tukar,” kata SC.

Di bawah proses yang dipercepatkan ini, penerbit tersenarai yang layak akan diberi kelonggaran yang lebih besar untuk menguruskan ketidakpastian pasaran ketika melakukan pengumpulan modal dan mengumpulkan dana sekunder yang cepat, tertakluk kepada syarat-syarat tertentu,” katanya.

SC dan Bursa Malaysia berkata mereka akan terus menerus meneroka kaedah untuk membuat pengumpulan dana melalui pasaran modal lebih cekap memandangkan kebanyakan penerbit tersenarai menghadapi cabaran operasi kerana pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Proses yang pantas bagi terbitan saham hak akan membolehkan penerbit tersenarai yang layak bertindak lebih cepat kerana mereka dapat mengumpulkan dana daripada pemegang sekuriti mereka sedia ada dalam jangka masa yang lebih pendek untuk memenuhi keperluan modal dan kewangan mereka.

“Mandat yang baharu itu bagi penerbitan saham adalah tambahan kepada mandat 20 peratus yang dipertingkatkan untuk penerbitan sekuriti baharu yang biasanya digunakan untuk penempatan persendirian. Kedua-dua langkah bantuan itu adalah sah sehingg 31 Disember, 2021,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )