
Seramai 40 juta pengguna baharu internet di Asia Tenggara setakat ini
KUALA LUMPUR,. Pengguna Internet di Asia Tenggara (SEA) mencatat peningkatan sebanyak 40 juta kepada 400 juta setakat ini, pada 2020, berbanding 360 juta pengguna pada 2019.
Menurut laporan e-Conomy SEA 2020 (e-konomi Asia Tenggara 2020) oleh Google, Temasek dan Bain, selain pengguna baharu secara dalam talian, COVID-19 telah meningkatkan penggunaan digital berikutan ramai pengguna mencuba perkhidmatan baharu buat pertama kalinya.
Lebih satu daripada tiga pengguna perkhidmatan digital (36 peratus) merupakan pengguna baharu kepada perkhidmatan itu dan 90 peratus daripadanya mahu meneruskan kebiasaan baharu mereka itu selepas pandemik tersebut.
Pengarah Urusan Google SEA dan Asia Selatan Stephanie Davis berkata pelaksanaan dan penggunaan e-dagang, media dalam talian dan penghantaran makanan mencatatkan lonjakan pada tahun ini, manakala pengangkutan dan perjalanan dalam talian berdepan cabaran yang signifikan.
“Pada akhirnya, kesan akhir ialah sektor Internet akan kekal berdaya tahan dengan Volum Barangan Kasar (GMV) sebanyak US$100 bilion menjelang akhir 2020 dan dijangka meningkat kepada GMV melebihi US$300 bilion menjelang 2025 — petunjuk yang jelas bahawa momentum itu belum terjejas akibat persekitaran yang mencabar pada tahun ini.
“Krisis ini juga akan mendorong Perkhidmatan Kewangan Digital (DFS) memandangkan pengguna dan perusahaan kecil dan sederhana menjadi lebih terbuka kepada urus niaga secara dalam talian,” katanya pada sidang meja bulat media secara maya dengan eksekutif Google, Temasek dan Bain hari ini.
Laporan itu juga memaklumkan COVID-19 telah mempercepatkan pertumbuhan e-dagang serta media dalam talian, pembayaran dan pengiriman wang, manakala beberapa sektor lain terjejas sementara termasuk pengangkutan (panggilan kereta), perjalanan dan pinjaman secara dalam talian.
Sementara itu, laporan itu turut memaklumkan mengenai pertambahan pengguna baharu dari kawasan bukan metro.
Pengguna baharu dari kawasan bukan metro di Malaysia (yang menetap di luar Greater Kuala Lumpur) mewakili kira-kira 59 peratus daripada pengguna baharu perkhidmatan digital, diikuti Indonesia (56 peratus), Filipina (54 peratus), Thailand (43 peratus) dan Vietnam (26 peratus).
Dalam sesi berasingan yang memfokuskan kepada Malaysia, Pengurus Komunikasi dan Hal Ehwal Awam Google Malaysia Yau Chuan Ng berkata Malaysia berada pada kedudukan teratas dari segi pertumbuhan digital.
Ketika ditanya mengenai insentif kepada perniagaan dalam pembentangan Belanjawan 2021 pada Jumaat lepas, Yau berkata insentif cukai adalah bersesuaian dengan situasi semasa ketika perniagaan dalam keadaan lebih berhati-hati dan konservatif.
Dalam pembentangan Belanjawan 2021, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengumumkan beberapa insentif kepada perniagaan termasuk cadangan mengecualikan cukai pendapatan selama 10 tahun kepada pengilang yang memindahkan operasi mereka ke Malaysia.
“Insentif cukai adalah idea yang baik, khususnya dalam situasi pada masa ini.
“Bagaimanapun, kita memerlukan usaha dan program bersepadu untuk memastikan insentif yang disediakan kepada pelabur akan memacu ekonomi Internet yang mampan,” kata Yau.
Laporan e-Conomy SEA 2020 itu turut menyatakan bahawa pelabur dijangka menjadi lebih selektif pada masa depan, beralih daripada pertumbuhan metrik kepada keuntungan yang berterusan.
— BERNAMA