Tidak perlu belanjakan 100 juta pound untuk seorang pemain: Guardiola

Tidak perlu belanjakan 100 juta pound untuk seorang pemain: Guardiola

LONDON: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, berkata bahawa kelabnya tidak perlu membelanjakan 100 juta pound untuk hanya seorang pemain dalam usaha untuk bersaing dengan pasukan terbaik di Eropah.

City berbelanja besar sejak kelab dimiliki hartawan Abu Dhabi pada 2008 tetapi rekod perpindahan tertinggi mereka masih kekal pada 63.3 juta pound ketika membeli Rodri dari Atletico Madrid pada 2019.

Barcelona, Real Madrid, Atletico, Manchester United, Chelsea, Liverpool, Arsenal, Bayern Munich, Juventus, Bayern Munich dan Inter Milan ada berbelanja besar untuk seorang pemain sebelum ini tetapi Guardiola berkata City tidak perlu berbelanja hanya untuk seorang pemain.

Beliau bercakap menjelang perlawanan Liga Juara-Juara menentang Borussia Dortmund, yang mempunyai penyerang yang diletakkan pada nilai 100 juta pound, Erling Haaland.

“Tidak, tidak sama sekali,” kata Guardiola pada sidang media sebelum perlawanan. “Kami belum lagi berbelanja begitu banyak wang untuk seorang pemain dan ia tidak memberikan kelab sebarang kelebihan. Bola sepak adalah sukan berpasukan, semua orang membuat sumbangan.

“Pemain yang tidak bermain juga memberi sumbangan, kakitangan di belakang tabir dan semua orang akan terlibat. Jadi ia bukan tentang seorang pemain, ia tentang semua yang berkaitan dengan kelab.

“Setakat ini, kelab membuat keputusan tidak membelanjakan sehingga 100 juta pound untuk seorang pemain, atau lebih dari 100 juta untuk seorang pemain. Mungkin di masa hadapan ia akan berlaku jika mereka membuat keputusan untuk meningkatkan pasukan untuk lima, 10 tahun akan datang.

“Tetapi setakat ini, kelab, pengurusan, CEO, pengarah teknikal membuat keputusan untuk tidak melakukannya dan kerana itulah kenapa kami tidak akan melakukannya. Tetapi mungkin di masa hadapan, saya tidak tahu.”

Haaland dikaitkan dengan perpindahan dari Dortmund pada musim panas ini, walaupun Guardiola mencadangkan City tidak mampu mendapatkan pemain berusia 20 tahun itu.

Pada sidang media yang sama, Guardiola melabelkan penyerang antarabangsa Norway itu sebagai “luar biasa” tetapi pemain tengah, Rodri, menegaskan City tidak mempunyai sebarang pelan khas untuk menghalang pemain tengah itu pada perlawanan suku akhir pertama itu nanti.

“Sememangnya beliau mempamerkan aksi memberangsangkan sejak berpindah ke Dortmund,” kata Rodri. “Beliau masih berusia 20 tahun dan beliau sudah menjaringkan banyak gol tetapi kami tidak memberi fokus kepada hanya seorang pemain.”

— AFP

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )