COVID-19: Badan sukan dinasihat tangguh AGM

KUALA LUMPUR,. Semua badan sukan, yang berdaftar di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997, dinasihatkan menangguhkan pelaksanaan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan seumpamanya sehingga 30 April ini bagi mengekang penularan COVID-19.

Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) berkata nasihat berkenaan selaras dengan arahan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pada Jumaat lepas berhubung penangguhan atau pembatalan perhimpunan, program, atau acara belia dan sukan.

“Keputusan ini akan diteliti semula sekiranya situasi Covid-19 bertambah baik,” menurut kenyataan PPS hari ini.

Dalam pada itu, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) memaklumkan latihan skuad senior lelaki dan wanita, serta skuad remaja kebangsaan ditangguhkan pada minggu ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak, dalam satu kenyataan dikeluarkan KHM, memaklumkan, pihaknya akan mendapatkan nasihat daripada badan berwajib sebelum mengeluarkan sebarang arahan untuk memulakan semula sesi latihan.

“Sekiranya para pemain mahupun jurulatih memiliki sebarang tanda-tanda yang cenderung ke arah jangkitan COVID-19, mereka dinasihatkan untuk segera melakukan pemeriksaan, dan perkara tersebut perlu dimaklumkan kepada KHM,”katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )