Ahmad Faizal mula tugas MB Perak ke-13

IPOH,. Selepas menggalas kembali jawatan, Datuk Seri Ahmad Azumu, hari ini memulakan tugas secara rasmi sebagai Menteri Besar Perak yang ke-13.

Beliau tiba di Bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Bangunan Perak Darul Ridzuan pada jam 8.30 pagi tadi.

Ketibaan beliau disambut oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan), Nor Sham Rahman dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Zulazlan Abu Hassan serta pegawai jabatan dan agensi negeri.

Pejabat Menteri Besar melalui satu kenyataannya hari ini memaklumkan sambutan berlangsung dalam skala yang kecil dan tanpa kehadiran pihak media sebagai langkah mewujudkan jarak sosial bagi membendung penularan COVID-19.

“Datuk Seri Ahmad Faizal memulakan tugasan beliau dengan mendengar taklimat daripada pegawai Jabatan Kesihatan Negeri di pejabat Menteri Besar, sebelum mempengerusikan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri (MKN).

“Mesyuarat ini bertujuan membincangkan tindakan lanjut pentadbiran kerajaan negeri dan jabatan serta agensi berkaitan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, mulai tengah malam ini hingga 31 Mac ini di seluruh negara seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khasnya semalam,” katanya.

Jumaat lalu, Ahmad Faizal mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak ke-13 di hadapan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Sultan Nazrin berkenan melantik Ahmad Faizal sebagai menteri besar selepas beliau mendapat kepercayaan sebahagian besar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan dibuat berpandukan Perkara XVI Fasal 2 (a) Undang undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan.

Pada 10 Mac lalu, Ahmad Faizal meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak ke-12 selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) di negeri ini yang dipimpinnya selepas Pilihan Raya Umum ke-14, tumbang.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )