
ATM SASAR PPDK DI SETIAP KEM BESAR BANTU KELUARGA ANGGOTA
KUALA LUMPUR,. Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyasarkan pembukaan sekurang-kurangnya satu Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di setiap kem besar bagi membantu penjagaan anak-anak berkeperluan khas dalam kalangan keluarga anggota.
Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman berkata inisiatif itu antara usaha ATM menyokong kebajikan keluarga anggota, khususnya mereka yang mempunyai anak berkeperluan khas.
“Aspek kebajikan warga ATM dan keluarga kekal menjadi keutamaan yang diuruskan bersandarkan rasa perikemanusiaan bagi memastikan anggota yang bertugas di lapangan atau perbatasan tidak bimbang akan keselamatan keluarga di rumah.
“Bagi menyokong keluarga anggota, kita menyasarkan pembukaan sekurang-kurangnya satu PPDK di setiap kem besar bagi membantu penjagaan anak-anak berkeperluan khas ini,” katanya dalam temu bual khas sempena sambutan Hari ATM ke-93 di sini.
Beliau berkata kewujudan PPDK itu berupaya memberikan ketenangan fikiran kepada anggota terlibat agar mereka dapat fokus kepada tugas operasi tanpa risau mengenai kebajikan ahli keluarga mereka.
Dalam pada itu, Malek Razak berkata ATM sedang melaksanakan 898 projek penyelenggaraan membabitkan 15,024 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) bagi menjamin keselesaan kediaman warga pasukan keselamatan itu.
Beliau berkata projek di bawah peruntukan P60 yang bermula April lepas dan dijangka siap menjelang Disember ini turut merangkumi 301 blok penginapan serta 989 kerja infrastruktur berkaitan.
Jumlah itu termasuk pelaksanaan Projek Cakna MADANI bagi menyelenggara 2,097 unit RKAT terpilih, dengan kemajuan projek dipantau secara berkala bagi memastikan pematuhan terhadap aspek kualiti, kos dan tempoh penyiapan.
Turut diberi penekanan, katanya ialah usaha memperkasa sosioekonomi isteri anggota tentera menerusi Badan Kebajikan Angkatan Tentera (BAKAT) melalui inisiatif penjanaan pendapatan seperti projek tanaman cendawan dan kebun sayur.
Beliau berkata usaha menaik taraf infrastruktur di kem lama juga terus diberi keutamaan, merangkumi penyelenggaraan bangunan teknikal, pejabat serta kemudahan wisma dan dewan makan anggota bagi mewujudkan persekitaran kerja yang selesa.
“Semua perancangan kebajikan itu dilaksanakan berpegang pada prinsip bahawa tiada warga ATM yang berjuang sendirian dan tiada keluarga yang dibiarkan tanpa pembelaan,” katanya.
ATM menyambut ulang tahun ke-93 pada Selasa lepas dengan mengangkat tema “Ketahanan ATM, Benteng Pertahanan Negara”.
— BERNAMA
