
BSN lantik Mujibburrahman Abd Rashid sebagai Ketua Eksekutif
KUALA LUMPUR,. Bank Simpanan Nasional (BSN) melantik Mujibburrahman Abd Rashid sebagai Ketua Eksekutif baharunya berkuat kuasa hari ini, selepas sebelum ini beliau memegang jawatan Pemangku Ketua Eksekutif bank itu.
Dalam satu kenyataan, BSN memaklumkan bahawa Mujibburrahman mempunyai pengalaman lebih tiga dekad dalam industri perbankan, termasuk lebih 18 tahun berkhidmat dengan bank itu, dengan kepakaran merangkumi perbankan runcit, transformasi perniagaan, pelaksanaan strategi, pengurusan risiko dan penglibatan pelanggan.
Beliau mula berkhidmat di BSN pada 1994 sebelum kembali menyertai bank itu pada 2018 selepas memegang beberapa jawatan kanan di Bank Islam, termasuk sebagai Pengurus Besar Perbankan Pengguna.
Sepanjang berkhidmat di BSN, beliau turut memegang pelbagai jawatan kanan termasuk Timbalan Ketua Eksekutif, Ketua Pegawai Perniagaan dan Pengarah Negeri.
Terbaharu, beliau menyelia operasi, keutamaan strategik serta prestasi perniagaan BSN ketika memegang jawatan Pemangku Ketua Eksekutif bank itu.
— BERNAMA
