Inflasi Malaysia meningkat 1.9 peratus pada Ogos 2026 – DOSM

Inflasi Malaysia meningkat 1.9 peratus pada Ogos 2026 – DOSM

KUALA LUMPUR,. Inflasi Malaysia meningkat 1.9 peratus pada Ogos 2026 berbanding 1.8 peratus pada bulan sebelumnya, dengan mata Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat kepada 137.5 daripada 134.9 pada Ogos 2025, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

DOSM memaklumkan kumpulan pengangkutan menjadi pemacu peningkatan itu, dengan inflasi kumpulan berkenaan meningkat kepada 2.0 peratus berbanding 1.4 peratus pada Julai 2026.

Inflasi bagi kumpulan penjagaan diri, perlindungan sosial dan barangan serta perkhidmatan lain-lain meningkat kepada 3.2 peratus pada Ogos berbanding 2.9 peratus pada Julai.

“Kedua-dua kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain serta restoran dan perkhidmatan penginapan masing-masing meningkat 2.1 peratus pada Ogos berbanding 1.8 peratus dan 2.0 peratus pada bulan sebelumnya.

“Kumpulan makanan dan minuman meningkat 1.9 peratus pada Ogos (Julai 2026: 1.8 peratus), manakala kumpulan kesihatan meningkat 1.3 peratus berbanding 1.1 peratus pada bulan sebelumnya,” menurut DOSM dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, kumpulan kelengkapan, peralatan rumah dan penyelenggaraan rutin isi rumah meningkat secara marginal sebanyak 0.4 peratus pada Ogos berbanding 0.3 peratus pada Julai 2026.

DOSM memaklumkan sembilan negeri mencatatkan kadar inflasi melebihi paras inflasi nasional 1.9 peratus, iaitu Negeri Sembilan (2.5 peratus), Johor (2.3 peratus), Kedah (2.3 peratus), Pahang (2.3 peratus), Labuan (2.3 peratus), Selangor (2.1 peratus), Kuala Lumpur (2.1 peratus), Melaka (2.0 peratus) dan Putrajaya (2.0 peratus).

“Semua negeri mencatatkan peningkatan inflasi kumpulan makanan dan minuman kecuali Kelantan yang mencatatkan penurunan pada Ogos 2026,” menurutnya.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, inflasi keseluruhan pada Ogos 2026 meningkat secara marginal sebanyak 0.3 peratus, didorong oleh inflasi kumpulan pengangkutan yang meningkat 0.6 peratus berbanding negatif 1.1 peratus pada bulan sebelumnya.

Ini diikuti kumpulan penjagaan diri, perlindungan sosial dan barangan serta perkhidmatan lain-lain yang meningkat 0.5 peratus, menurutnya.

Kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain serta restoran dan perkhidmatan penginapan masing-masing meningkat 0.4 peratus berbanding 0.1 peratus dan 0.2 peratus pada bulan sebelumnya.

Kumpulan makanan dan minuman meningkat lebih sederhana pada kadar 0.2 peratus pada Ogos berbanding 0.3 peratus pada Julai.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This