HARI MALAYSIA: RAIKAN KEPELBAGAIAN YANG MEMBENTUK “WAJAH MALAYSIA”

HARI MALAYSIA: RAIKAN KEPELBAGAIAN YANG MEMBENTUK “WAJAH MALAYSIA”

KUALA LUMPUR,. Yang biasa kedengaran ialah Malaysia sebuah negara majmuk, memiliki pelbagai kaum, budaya dan agama, namun amat jarang ditegaskan kepelbagaian itu adalah “wajah Malaysia”.

Daripada kepelbagaian itulah lahir kekuatan yang menyatukan, apabila budaya menjadi jambatan untuk rakyat saling mengenali, memahami dan menghormati perbezaan, sekali gus menyemai rasa kebersamaan sebagai sebuah negara bangsa.

Di Semenanjung, masyarakat Melayu, Cina dan India serta pelbagai suku Orang Asli hidup bersama-sama, berkongsi ruang kehidupan, tradisi dan nilai yang menjadi asas keharmonian.

Di Sabah dan Sarawak pula, wajah Malaysia dipamerkan menerusi kepelbagaian etnik seperti Kadazandusun, Bajau, Murut, Iban, Bidayuh dan Melanau yang masing-masing kaya dengan adat, bahasa serta warisan tersendiri.

Berbeza latar budaya, kepercayaan dan tradisi, namun kesemua kaum dan etnik ini berkongsi satu identiti, iaitu rakyat Malaysia.

Mengulas aspek itu, Timbalan Pengarah Institut Pengajian Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Mohd Roslan Rosnon berkata kepelbagaian tersebut adalah antara kekuatan utama Malaysia.

“Kekuatan ini diterjemahkan melalui keupayaan rakyat Malaysia untuk hidup dalam kepelbagaian dan berkongsi ruang sosial yang sama.

“Proses interaksi ini secara perlahan-lahan membina kefahaman, toleransi dan rasa kebersamaan dalam kalangan masyarakat. Justeru, kepelbagaian tidak seharusnya dilihat sebagai halangan kepada perpaduan, sebaliknya sebagai modal sosial dan budaya yang perlu terus dipelihara,’’ katanya kepada Bernama.

Mohd Roslan bagaimanapun menegaskan perbezaan budaya boleh menjadi tembok pemisah apabila diselubungi prasangka dan prejudis, terutama apabila tiada ruang untuk rakyat saling mengenali, memahami dan menghargai antara satu sama lain.

Bagaimanapun, apabila difahami dan dihormati, perbezaan mampu menjadi sumber pembelajaran serta kekuatan bersama dalam membina perpaduan.

“Perpaduan ini juga tidak bermaksud menghapuskan identiti etnik atau budaya seseorang, sebaliknya membolehkan setiap individu mengekalkan identiti budaya masing-masing sambil berkongsi identiti yang lebih besar, iaitu sebagai rakyat Malaysia.

“Justeru, prinsip yang perlu dibina ialah ‘berbeza tetapi saling menghormati, pelbagai tetapi mempunyai rasa kebersamaan’ sebagai asas kehidupan masyarakat dalam sebuah negara yang berbilang budaya.’’ tambahnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata dalam konteks Malaysia, budaya memainkan peranan penting dari segi pembentukan identiti nasional rakyat Malaysia yang dizahirkan melalui simbol kenegaraan seperti Jalur Gemilang dan lagu Negaraku, serta diperkukuh menerusi bahasa, adat, kesenian dan warisan serta nilai bersama yang dikongsi oleh rakyat.

“Dalam konteks ini juga, kita dapat melihat bagaimana Rukun Negara berfungsi sebagai asas penting dalam menyatukan masyarakat, sekali gus menjadi kerangka utama yang membolehkan rakyat pelbagai latar budaya, hidup dalam suasana saling menghormati, di samping memupuk rasa tanggungjawab bersama terhadap negara,” katanya.

“Justeru, seseorang rakyat boleh terus berbangga dengan identiti budayanya sebagai Melayu, Cina, India, Iban, Kadazandusun, Bidayuh, Orang Asli atau mana-mana komuniti lain, namun pada masa sama berkongsi satu identiti yang lebih besar sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Selain itu, Mohd Roslan berkata budaya turut memainkan peranan penting dalam mewujudkan rasa kebersamaan rakyat yang berbeza kaum, agama dan latar belakang.

Menurut beliau, budaya mempunyai keupayaan unik untuk mendekatkan masyarakat kerana elemen ini sering dikongsi menerusi pengalaman langsung dalam sesebuah komuniti.

“Misalnya, apabila kita hadir di rumah terbuka atau menyertai sesuatu perayaan etnik atau kaum lain, perkara yang paling penting sebenarnya bukan sekadar makanan atau kemeriahan…tetapi peluang untuk kita memahami komuniti tersebut dengan lebih dekat.

‘’Kita belajar mengapa sesuatu amalan dilakukan…daripada pengetahuan lahir kefahaman, dan daripada kefahaman lahir rasa hormat. Meraikan kepelbagaian bukan bermaksud mengambil alih budaya orang lain, tetapi menghargainya dengan penuh hormat dan kefahaman,’’tambah beliau.

Sementara itu, pensyarah kanan di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Ku Hasnita Ku Samsu berkata daripada perspektif psikologi, budaya memainkan peranan penting dalam membina rasa saling percaya dan hormat-menghormati dalam kalangan rakyat Malaysia.

Beliau berkata elemen itu menjadi asas penting dalam mewujudkan hubungan sosial yang lebih kukuh, sekali gus menyumbang kepada perpaduan yang berkekalan dalam masyarakat berbilang kaum.

Selain itu, Ku Hasnita berkata fenomena budaya yang merentasi batas kaum juga bukan sesuatu yang asing, bahkan perkongsian budaya antara etnik telah lama berkembang secara semula jadi melalui proses akulturasi di negara ini.

Beliau berkata menerusi proses tersebut, sesuatu amalan, tradisi atau simbol budaya yang asalnya sinonim dengan kelompok tertentu boleh diterima, disesuaikan dan diamalkan secara sukarela oleh masyarakat daripada latar etnik yang berbeza tanpa menghilangkan identiti asalnya.

‘’Amalan itu (perkongsian budaya) dapat dilihat dengan jelas dalam aspek pemakaian tradisional serta komunikasi harian. Misalnya, pemakaian baju kurung oleh wanita bukan Melayu di sekolah, institusi pengajian tinggi dan premis perkhidmatan awam, telah menjadi norma biasa kerana keselesaan serta nilai kesopanannya.

“Dari sudut bahasa pula, kosa kata seperti ‘tapau’ daripada dialek Kantonis serta gelaran mesra seperti ‘macha’ daripada bahasa Tamil telah diserap menjadi bahasa pertuturan harian yang difahami oleh semua rakyat. Perkongsian budaya secara aktif ini membuktikan bahawa penghormatan dan pemahaman silang kaum di Malaysia telah berakar umbi dengan utuh,’’ katanya.

Mengulas lanjut, Ku Hasnita berkata meskipun amalan perkongsian budaya diterima secara meluas dalam kalangan masyarakat di negara ini, usaha mempromosikannya perlu dilakukan secara berterusan, bukannya bermusim.

Beliau berkata ini kerana kebanyakan acara berkaitan budaya lebih bertumpu ketika musim perayaan sesebuah kaum atau etnik tersebut.

“Saya melihat pada ketika ini, kelaziman masyarakat meraikan kepelbagaian sering kali bersifat ‘episodik’, iaitu interaksi silang kaum diraikan secara meriah dan besar-besaran hanya apabila tiba kemuncak sambutan perayaan utama misalnya seperti rumah terbuka.

“Walaupun amalan majlis perayaan ini sangat positif, secara tidak langsung acara sedemikian melahirkan sindrom ‘perpaduan bermusim’, dengan pertukaran budaya dilihat sekadar satu acara khas atau pertunjukan semata-mata,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengesyorkan pengukuhan usaha tersebut melalui aktiviti komuniti yang santai, termasuk program kesenian di bawah inisiatif Rukun Tetangga yang membuka ruang kepada masyarakat pelbagai kaum untuk bergaul, bekerjasama dan membina rasa saling percaya tanpa bergantung semata-mata pada perayaan atau acara rasmi.

Selain itu, langkah “merakyatkan” perpaduan juga perlu disokong melalui peranan institusi penting, khususnya dalam sistem pendidikan dan pekerjaan.

Katanya, sekolah, institusi pengajian tinggi serta agensi awam dan swasta wajar diperkasakan sebagai ruang pergaulan dan interaksi antara masyarakat pelbagai kaum.

“Melalui aktiviti berkumpulan yang melibatkan pelbagai etnik, penerapan kurikulum yang menghargai sumbangan setiap kaum serta interaksi di institusi pendidikan dan tempat kerja, nilai keharmonian ini akan dapat dipupuk secara berterusan.

“Apabila pergaulan rentas budaya menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian dan diterima sebagai kelaziman, perpaduan nasional akan lebih kukuh’’ katanya.

Dalam pada itu, Ku Hasnita berkata pelaksanaan dasar kerajaan juga perlu berteraskan usaha membentuk identiti nasional yang menyeluruh, dengan keunikan budaya setiap etnik diraikan sebagai elemen penting yang melengkapi wajah Malaysia.

Setiap penganjuran program rasmi kerajaan perlu menampilkan representasi demografi rakyat Malaysia secara seimbang, bukan sahaja dari segi pengisian program, tetapi turut merangkumi penyampaian visual, katanya.

Tambah beliau, pendekatan itu penting bagi memastikan setiap kumpulan etnik merasakan mereka benar-benar diwakili, dihargai dan diiktiraf.

“Keunikan budaya setiap etnik merupakan komponen penting yang melengkapi wajah Malaysia. Ini kerana identiti nasional yang terbentuk daripada rakyat berbilang kaum menjadi asas kepada perpaduan dan keharmonian negara.

“Justeru, kita bukan sahaja mahu rakyat memahami kepelbagaian yang wujud, tetapi turut menerimanya dengan terbuka dan akhirnya meraikannya sebagai kekuatan bersama sampai bila-bila,” tambahnya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This