
Anugerah Enterprise 50 dirangka untuk perkukuh jaringan perdagangan
KUALA LUMPUR,. Anugerah Enterprise 50 (E50) yang mengiktiraf pencapaian 50 Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) terunggul di Malaysia telah dilancarkan secara rasmi pada Khamis oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong di Hotel Cititel Mid Valley, Kuala Lumpur.
Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut ialah Pengerusi SME Corp. Malaysia, Tan Sri Datuk Seri Panglima Bernard Giluk Dompok dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal bin Dato’ Nainy.
Sebagai penambahbaikan signifikan bagi edisi tahun ini, Anugerah E50 akan dianjurkan bersama Persidangan Eksport E50 dan Sesi Padanan Perniagaan (Biz Matching) E50.
Program bersepadu ini dirangka untuk menggalakkan peluang perniagaan, memperkukuh jaringan perdagangan serta menyokong pertumbuhan eksport PMKS tempatan, terutamanya di kalangan Alumni E50.
Persidangan Eksport E50 telah menjadi platform untuk membincangkan isu dan cabaran utama dalam menembusi pasaran eksport, di samping meneroka peluang baharu melalui perjanjian perdagangan serantau dan global yang boleh dimanfaatkan oleh syarikat E50.
Inisiatif ini telah dilengkapi dengan Sesi Padanan Perniagaan E50 yang menghimpunkan pembeli tempatan dan antarabangsa bagi memperluas rantaian bekalan syarikat-syarikat E50 yang terlibat.
Elemen baharu yang diperkenalkan pada tahun ini adalah selaras dengan teras Daya Akses Pasaran di bawah Strategi ABCD yang diperkenalkan oleh Steven Sim bagi memperkukuh daya saing usahawan tempatan.
Sejak diperkenalkan pada tahun 1997, Anugerah E50 telah menerima pengiktirafan industri selama lebih dua dekad dan menjadi simbol kredibiliti dalam landskap perniagaan Malaysia.
Anugerah ini dianjurkan secara kolaboratif oleh SME Corp. Malaysia bersama rakan pelaksana, Estilo Media Group Sdn Bhd dengan sokongan penuh daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Pada majlis yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal bin Dato’ Nainy mengalu-alukan pencalonan daripada PKS yang layak.
Beliau menjemput syarikat-syarikat yang memenuhi syarat untuk menyertai Anugerah E50, khususnya yang telah mencapai penarafan 4-Bintang atau 5-Bintang di bawah Program Penarafan Daya Saing PKS untuk Peningkatan (SCORE).
Pencalonan bagi Anugerah E50 2026 dibuka sehingga 31 Julai 2026, manakala kemuncak program iaitu Majlis Anugerah E50 dijadualkan berlangsung pada Oktober.
Bagi melayakkan diri, syarikat perlu memenuhi beberapa kriteria utama. Pemohon mestilah memenuhi definisi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta diperbadankan di Malaysia. Selain itu, syarikat juga perlu memperoleh penarafan 4-Bintang atau 5-Bintang di bawah program SCORE.
Syarikat yang layak juga tidak boleh disenaraikan di Bursa Malaysia dan dikehendaki mempunyai penyata kewangan beraudit bagi tiga tahun berturut-turut. Selain itu, anak syarikat tidak layak menyertai sekiranya syarikat induk turut mengambil bahagian dalam anugerah ini.
