AFFIN ISLAMIC lancar Zon Mesra Autisme di HATTM, Hari Kesedaran Autisme Sedunia 2026

AFFIN ISLAMIC lancar Zon Mesra Autisme di HATTM, Hari Kesedaran Autisme Sedunia 2026

KUALA LUMPUR,. Affin Islamic Bank Berhad terus memperkukuh komitmennya dalam menyokong komuniti neurodivergen dan memartabatkan rangkuman sosial melalui perasmian Zon Mesra Autisme yang dikhususkan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM).

Dilancarkan bersempena Hari Kesedaran Autisme Sedunia 2026, inisiatif ini dibiayai menerusi sumbangan AFFIN sebanyak RM70,000 bagi menyokong pembangunan sebuah bilik sensori khas dan kawasan permainan luar di Jabatan Pediatrik HATTM untuk kanak-kanak neurodivergen.

Fasiliti ini menawarkan persekitaran penjagaan kesihatan yang lebih kondusif bertujuan untuk mengurangkan tekanan sensori yang sering dikaitkan dengan persekitaran klinikal konvensional.

Dengan mewujudkan pengalaman yang lebih tenang bagi kanak-kanak dalam spektrum autisme, inisiatif ini berhasrat untuk meningkatkan kualiti penjagaan serta pengalaman keseluruhan bagi pesakit dan keluarga mereka.

Inisiatif ini mencerminkan tumpuan berterusan AFFIN ISLAMIC terhadap usaha berasaskan komuniti yang mempromosikan inklusiviti, sokongan awal, dan akses kepada penjagaan yang sewajarnya.

Ia juga merupakan sebahagian daripada agenda Perantaraan Berasaskan Nilai (VBI) Bank, yang menekankan perbankan bertanggungjawab serta penciptaan nilai jangka panjang yang bermakna bagi komuniti.

Ketua Pegawai Eksekutif, Affin Islamic Bank Berhad Dato’ Paduka Syed Mashafuddin Syed Badarudin berkata, pelancaran adalah sempena Bulan Kesedaran Neurodiversity Peringkat Kumpulan AFFIN dan Hari Kesedaran Autisme Sedunia justeru pihak teruja untuk bekerjasama dengan HATTM dalam menyediakan Zon Mesra Autisme ini.

“Tumpuan kami terhadap komuniti neurodivergen berasaskan kepercayaan bahawa setiap kanak-kanak perlu diberikan pemahaman, keselesaan serta persekitaran yang membolehkan mereka berinteraksi dengan lebih yakin.

“Sejak 2025, Bank memberi penekanan kepada inisiatif yang menyokong intervensi awal dan penjagaan inklusif, dan zon ini merupakan kesinambungan kepada komitmen tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, sebagai institusi kewangan, peranan pihaknya melangkaui perkhidmatan perbankan.

“Melalui inisiatif seperti ini, kami dapat membantu memperkukuh sokongan komuniti, memperluas akses kepada penjagaan kesihatan serta mewujudkan persekitaran yang lebih inklusif untuk kanak-kanak dan keluarga.

“Kumpulan AFFIN menyokong sepenuhnya inisiatif seumpama ini dan kekal komited untuk terus berbuat demikian selaras dengan salah satu tonggak AFFIN Axelerate 2028 (AX28), iaitu Perbankan Bertanggungjawab dengan Impak.”

Ujar beliau inisiatif ini turut melengkapi usaha yang lebih menyeluruh dalam memperkukuh kesedaran, sokongan awal dan intervensi bagi kanak-kanak dalam spektrum autisme, termasuk dalam kalangan komuniti angkatan tentera.

“Zon Mesra Autisme ini menyumbang kepada persekitaran penjagaan yang lebih menyokong bagi keluarga yang memerlukan bantuan yang mudah diakses dan bersesuaian,” katanya.

Tegasnya, melalui kerjasama seperti ini, AFFIN ISLAMIC terus memperluas inisiatif komuniti inklusif yang menambah baik akses kepada penjagaan serta mewujudkan impak positif dan berkekalan melangkaui perkhidmatan kewangan.

Hadir pada pelancaran itu ialah Ketua Jabatan Pediatrik HATTM Brigedier Jeneral (Dr) Mohd Ruddian Ab Rahman, Pengarah HATTM Brigedier Jeneral Dato’ (Dr) Mohamed Hatta Manis dan Ketua Strategi & Operasi AFFIN Islamic Bank Berhad Jozaimah Johan Ali.

CATEGORIES
Share This