
ACCA UTAMAKAN INTEGRITI, KEMBALI KEPADA PEPERIKSAAN BERSEMUKA PERINGKAT GLOBAL
KUALA LUMPUR,. Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) kembali melaksanakan peperiksaan secara bersemuka di seluruh dunia selepas melihat tanda-tanda perubahan dalam corak tingkah laku peperiksaan yang boleh menimbulkan risiko terhadap integriti kelayakannya.
Ketua Eksekutifnya, Helen Brand berkata ACCA memantau corak tingkah laku semasa setiap sesi peperiksaan dan mendapati terdapat tanda-tanda perubahan ketara sehingga memerlukan tindakan diambil.
“Perkara paling penting perlu kami lindungi dari segi reputasi ialah integriti peperiksaan ACCA. Kami sentiasa meletakkan perkara itu sebagai keutamaan tertinggi dalam sebarang pertimbangan.
“Kami melihat tanda-tanda perubahan yang mencukupi dan mahu menghapuskan sebarang risiko terhadap integriti peperiksaan kami, itulah sebabnya kami membuat keputusan tersebut,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif baru-baru ini.
ACCA sebahagian besarnya telah kembali kepada peperiksaan secara bersemuka pada Mac, 2026, peperiksaan dipantau dari jarak jauh kini hanya dibenarkan dalam keadaan luar biasa.
Brand berkata majikan dan orang ramai perlu yakin bahawa ahli ACCA di seluruh dunia memperoleh kelayakan mereka dengan penuh integriti dan piawaian sama digunakan secara konsisten merentas pasaran.
“Akhirnya, tidak kira sama ada mereka yang layak itu berada di Kuala Lumpur, Beijing atau London, majikan dan orang ramai perlu tahu bahawa kelayakan itu diperoleh dengan integriti dan ia sama seperti setiap kelayakan ACCA yang lain di dunia,” katanya.
Beliau berkata ACCA mempunyai lembaga kawal selia dan lembaga peperiksaan bebas yang memantau proses serta sistem peperiksaannya.
“Kami tidak akan mengambil risiko sehingga menjejaskan integriti,” tegas Brand.
Beliau berkata dasar itu dilaksanakan secara konsisten di seluruh dunia bagi memastikan tiada kumpulan pelajar tertentu mendapat kelebihan atau kerugian tidak adil.
Bagaimanapun, Brand menegaskan bahawa langkah kembali kepada peperiksaan secara bersemuka tidak bermakna ACCA mengurangkan penggunaan teknologi dalam kelayakannya.
“Saya mahu menegaskan bahawa kami sama sekali tidak mengurangkan kandungan teknologi dalam kelayakan itu sendiri. Ini adalah mengenai pelaksanaan proses peperiksaan, ia merupakan perkara berasingan.
“Kami akan terus menguji kecekapan teknologi menerusi modul kebolehpasaran dan peperiksaan kami, serta mengintegrasikannya ke dalam peperiksaan mengikut cara yang telah kami rancangkan,” katanya.
Brand berkata ACCA akan terus meneliti teknologi sedia ada dan mungkin mempertimbangkan semula aturan peperiksaannya, jika kemajuan teknologi menyediakan langkah perlindungan yang kukuh dengan secukupnya.
“Mungkin pada masa hadapan, akan wujud kemajuan yang dapat membantu kita dalam hal ini, namun buat masa ini, inilah sahaja cara untuk melindungi integriti kelayakan tersebut,” katanya.
AI Akan Mengubah, Bukan Menggantikan Akauntan
Sementara itu, Brand berkata kecerdasan buatan (AI) telah mengubah sifat kerja perakaunan dengan mengautomasikan tugas-tugas rutin, termasuk pengumpulan dan pengekstrakan maklumat.
Bagaimanapun, beliau berkata AI tidak akan menggantikan akauntan, sebaliknya akan menjadi alat yang perlu digunakan secara berkesan oleh akauntan dan dengan pertimbangan profesional yang wajar.
“Mesin tidak akan pernah dipertanggungjawabkan atas sebarang kesilapan, sebaliknya manusia akan menanggung akibatnya dan dipersalahkan.
“Oleh itu, adalah sangat penting untuk manusia kekal mengawal segala keputusan.
“AI tidak akan mengambil alih peranan akauntan. Sebaliknya, ia menjadi alat yang perlu digunakan oleh akauntan dengan pertimbangan baik dan berkesan untuk perniagaan,” katanya.
Selain itu, Brand menambah bahawa permintaan daripada majikan terhadap akauntan profesional kekal kukuh walaupun penggunaan teknologi canggih sedang berkembang dengan pesatnya.
Bagaimanapun, profesion tersebut perlu mempertimbangkan bagaimana automasi mampu mengubah bentuk pekerjaan peringkat permulaan dan laluan tradisional untuk menceburi bidang perakaunan, katanya.
Menutup jurang kemahiran digital
Memetik laporan ‘Enabling Finance Insight’ dikeluarkan oleh ACCA dan Akauntan Bertauliah Australia dan New Zealand, beliau berkata sebanyak 72 peratus profesional kewangan hanya mempunyai kemahiran asas atau langsung tidak mempunyai kemahiran dalam AI generatif, termasuk 34 peratus yang tidak mempunyai sebarang kemahiran langsung.
“Ketika ini, terdapat jurang pengetahuan yang perlu diisi dengan segera,” kata Brand.
Menurut beliau, ACCA sedang merangka semula kelayakannya, dengan menyepadukan teknologi ke dalam keseluruhan program itu dan kumpulan pelajar pertama di bawah kelayakan baharu itu dijadualkan bermula pada 2027.
Kelayakan dirangka semula itu merangkumi modul kebolehpasaran penting, bertujuan mempersiapkan pelajar bagi alam pekerjaan, termasuk modul mengenai teknologi digital dan inovasi.
ACCA turut memperkenalkan pilihan sains data pada peringkat ‘Profesional Strategik’, ia akan disediakan kepada ahli sedia ada yang ingin memperkukuh keupayaan sains data mereka.
“Kita tidak boleh memisahkan akauntan daripada teknologi. Kedua-duanya perlu disepadukan, dan kami telah melaksanakannya dalam program kelayakan tersebut,” kata Brand.
— BERNAMA
