MPOB: 2025 iktiraf kecemerlangan warganya Menganjurkan Majlis Anugerah Kecemerlangan

MPOB: 2025 iktiraf kecemerlangan warganya Menganjurkan Majlis Anugerah Kecemerlangan

KUALA LUMPUR,. Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah menganjurkan Majlis Anugerah Kecemerlangan MPOB 2025 di ibu pejabatnya di Bandar Baru Bangi semalam, bagi mengiktiraf sumbangan cemerlang warganya dalam bidang penyelidikan dan perkhidmatan, sekali gus menegaskan kedudukan industri sawit sebagai penyumbang ketiga terbesar kepada pendapatan eksport negara.

Sebagai agensi peneraju negara dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) sawit, MPOB menekankan penyampaian perkhidmatan yang menyeluruh merangkumi keseluruhan rantaian nilai industri sawit.

Ini termasuk sokongan kepada pekebun kecil persendirian, di samping peranannya menerajui pembangunan teknologi dan inovasi terkini bagi memperkukuh kemajuan industri serta daya saing global.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, selepas lebih dua dekad penubuhannya, MPOB telah membina tenaga kerja saintifik dan profesional yang kompeten serta dihormati dan berkeupayaan mengemudi landskap industri sawit global yang semakin kompleks.

Menurut beliau, keupayaan ini amat penting ketika industri berdepan cabaran peraturan dan kemampanan yang semakin berkembang.

Dalam menangani cabaran seperti Peraturan Produk Bebas Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR), Johari berkata kerajaan telah menerajui pembangunan GeoSAWIT bagi menyokong keperluan pelaporan.

Sistem ini juga meningkatkan keupayaan Malaysia untuk memantau pembangunan ladang baharu dan mengelakkan dakwaan penyahhutanan.

Beliau menambah bahawa MPOB turut membangunkan Sawit Intelligent Management System (SIMS), sebuah platform pendigitalan bagi pengurusan rantaian bekalan sawit negara yang merangkumi pelesenan, penghantaran, data ladang dan transaksi industri.

Mengulas hala tuju masa hadapan, beliau berkata kementerian dan MPOB akan memberi tumpuan kepada beberapa agenda strategik utama, termasuk mempercepatkan pendigitalan rantaian bekalan melalui peluasan SIMS, integrasi pensijilan serta pemerkasaan sistem geo-spasial seperti GeoSAWIT.

Keutamaan lain termasuk meningkatkan produktiviti tanpa pembukaan kawasan baharu melalui penyelidikan benih, teknologi mekanisasi dan aplikasi kecerdasan buatan (AI), selain memperkukuh pembangunan produk bernilai tinggi bagi menembusi pasaran premium yang lebih berdaya saing.

Usaha ini turut merangkumi pemerkasaan pekebun kecil melalui program sokongan, latihan dan insentif bagi memastikan piawaian kemampanan dapat dipatuhi tanpa menjejaskan mata pencarian mereka.

Sementara itu, Pengerusi MPOB, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha menegaskan komitmen lembaga tersebut dalam melahirkan pakar industri dan penyelidik.

Beliau memetik pencapaian Dr Ravigadevi Sambanthamurthi, bekas Pengarah Pusat Kemajuan Bioteknologi dan Biak Baka (ABBC) MPOB, yang mencipta sejarah apabila dipilih sebagai Felo Royal Society, salah satu akademi sains paling berprestij di dunia.

Mohamad Helmy berkata, MPOB telah meraih pelbagai pengiktirafan berprestij di peringkat nasional dan antarabangsa, termasuk Anugerah Sains Mahathir 2022 (Kategori Sumber Asli Tropika) oleh Pusat Kemajuan Bioteknologi dan Biak Baka (ABBC), Anugerah Merdeka 2014 bagi pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan mampan, serta Anugerah Bank Pembangunan Islam (IDB) pada 2006.

Beliau turut memaklumkan bahawa MPOB menerima Anugerah Inovasi daripada Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) pada 2001 dan 2008 menerusi kerjasama penyelidikan awam-swasta.

Antara pencapaian penting lain termasuk pengkomersialan minyak sawit merah kaya karotena, pengeluaran vitamin E berketulenan tinggi daripada distilat asid lemak sawit (PFAD), serta pembangunan alat pemotong pelepah sawit bermotor Cantas .

Majlis Anugerah Kecemerlangan MPOB 2025 merupakan acara kemuncak sambutan ulang tahun ke-25 MPOB yang mengiktiraf pencapaian cemerlang dalam kalangan warga kerjanya.

Sebagai penutup sambutan, Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir telah menanam Kapsul Masa MPOB di ibu pejabatnya sebagai simbolik perjalanan 25 tahun agensi tersebut dalam memacu pembangunan, inovasi dan kecemerlangan industri sawit negara.

Kapsul berkenaan akan dibuka pada Mei 2050 sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-50 MPOB.

CATEGORIES
Share This