APABILA DEMENSIA MENYERANG KETIKA USIA PRODUKTIF KERJAYA

APABILA DEMENSIA MENYERANG KETIKA USIA PRODUKTIF KERJAYA

KUALA LUMPUR,. Ismail (bukan nama sebenar) pernah diperakui oleh majikannya sebagai pekerja tercekap, namun beberapa tahun kebelakangan ini eksekutif kanan di sebuah syarikat itu mula berdepan dengan pelbagai masalah yang mengganggu prestasi kerja.

Ada kalanya dia lupa temu janji penting dengan klien, keliru dengan arahan ringkas majikan selain berdepan kesukaran untuk menzahirkan perkataan-perkataan tertentu yang selama ini lancar di lidahnya. Teguran keras majikan serta pandangan sinis rakan sekerja membuatkan dia bertambah tertekan.

Menyangkakan dia berkeadaan sedemikian akibat tekanan kerja, lelaki berusia 50 tahun ini benar-benar terperanjat apabila didiagnosis mengalami masalah kesihatan yang lebih serius, iaitu demensia onset muda atau EOD.

DEMENSIA “SEBELUM” WAKTU

Kes itu dikongsikan oleh Pakar Perubatan Geriatrik Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Dr Hazlina Mahadzir ketika ditemui Bernama baru-baru ini yang turut menjelaskan EOD merujuk masalah demensia yang berlaku sebelum usia 65 tahun.

“Masalah demensia lazimnya berlaku pada warga emas yang berusia lanjut, namun EOD ini berlaku sebelum waktu itu.

“Istilah demensia ini pula secara umumnya merujuk keadaan kemerosotan fungsi kognitif (fungsi otak) sehingga menjejaskan kehidupan seharian kerana masalah ini melibatkan daya ingatan, kemahiran berfikir, memahami dan membuat keputusan,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata demensia juga merupakan istilah payung yang merangkumi sekumpulan gejala, dengan Alzheimer sebagai antara penyakit paling lazim dialami oleh pesakit demensia termasuk penghidap EOD.

“Terdapat juga demensia vaskular yang berkait dengan gangguan bekalan darah ke otak atau selepas insiden strok, kecederaan otak akibat kemalangan serta demensia frontotemporal (FTD), yang juga antara jenis demensia lebih kerap berlaku dalam kalangan penghidap EOD.

“FTD biasanya melibatkan bahagian depan dan sisi otak serta boleh menyebabkan perubahan ketara pada fungsi eksekutif (otak) seseorang, iaitu kemahiran mental untuk merancang, mengurus masa dan menyelesaikan masalah harian,” jelas beliau.

Data EOD di Malaysia masih terhad, namun di peringkat global, hasil kajian terkini yang diterbitkan jurnal perubatan JAMA Neurology menunjukkan prevalens EOD ialah kira-kira 119 kes bagi setiap 100,000 individu berusia 30 hingga 64 tahun.

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2025: Kesihatan Warga Emas pula merekodkan prevalens demensia sebanyak 9.8 peratus dalam kalangan warga emas berusia 60 tahun ke atas, meningkat berbanding 8.5 peratus pada 2018.

Bagaimanapun survei tersebut tidak menunjukkan pecahan khusus bagi kumpulan bawah 65 tahun, menegaskan keperluan agar pihak kerajaan segera mengumpul data komprehensif kes EOD.

Mengulas lanjut, Dr Hazlina berkata walaupun kira-kira 95 peratus pesakit demensia di HCTM adalah mereka yang berusia 65 tahun ke atas, klinik mereka merekodkan sekurang-kurangnya satu kes baharu EOD setiap enam hingga 10 bulan.

“Walaupun jumlah kes kelihatan amat kecil berbanding kes demensia warga emas, kita tidak boleh menolak kemungkinan masih banyak kes EOD yang tidak diagnosis atau terlepas pandang,” katanya, menambah hal itu disebabkan oleh kekurangan data tentang EOD di negara ini selain faktor usia yang tidak menepati kategori pesakit demensia yang kerap diketahui umum.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan pesakit sendiri enggan mengakui mereka berdepan masalah kognitif disebabkan masih muda dan di peringkat usia produktif, selain bimbang diberhentikan kerja sekiranya didiagnosis.

KENALI TANDA

Dalam konteks ini, Dr Hazlina berkata ahli keluarga dan mereka yang terdekat perlu memainkan peranan dengan memantau perubahan pada pesakit.

“Ahli keluarga perlu peka sekiranya individu terbabit mula kerap lupa maklumat yang baru dipelajari, sukar mencari perkataan sesuai ketika berbual, atau menunjukkan perubahan personaliti drastik seperti mudah marah.

“Selain itu, individu berkenaan juga mungkin mudah cemas dan mengalami kebimbangan melampau. Tanda-tanda fizikal pula termasuk masalah tidur dan kesakitan yang kerap seperti sakit kepala dan lenguh-lenguh badan.

“Mereka juga mungkin berdepan kesukaran menguruskan tugas harian biasa (seperti mengira bil atau memandu ke tempat biasa) serta mengalami masalah keseimbangan badan yang boleh dijadikan isyarat penting untuk dimaklumkan kepada doktor,” katanya.

Tanda-tanda sosial pula boleh berbentuk pengasingan diri daripada kawan-kawan atau keluarga serta mengabaikan kesihatan dan penampilan diri sendiri.

“Sekiranya wujud semua petanda ini, sebaiknya penjaga membawa individu berkenaan berjumpa pakar,” nasihat beliau.

Pada masa sama, Dr Hazlina turut menegaskan tidak semua mereka yang mengalami masalah kognitif adalah pesakit EOD.

“Antara petanda yang sering disalah tafsir ialah kemurungan dan stres melampau, kekurangan vitamin B12, masalah tiroid, pengambilan alkohol berlebihan serta masalah tidur seperti apnea tidur,” katanya.

Bagi mendapatkan diagnosis lebih tepat, doktor perlu menjalankan beberapa penilaian termasuk ujian kognitif, pemeriksaan darah serta pemeriksaan lebih mendalam termasuk imbasan tomografi berkomputer (CT scan) atau pengimejan resonans magnetik (MRI) otak.

PERTAHANKAN KEUPAYAAN SEDIA ADA

Berhubung pengurusan demensia, Dr Hazlina berkata terdapat dua pendekatan utama yang sering digunakan. Dari segi perubatan, antara yang sering digunakan ialah kumpulan ubat cholinesterase inhibitors seperti donepezil yang juga merupakan ubat perangsang kognitif, bertujuan melambatkan proses kemerosotan penyakit fungsi otak dan mengekalkan kemandirian pesakit.

Pendekatan bukan farmakologi pula membabitkan terapi cara kerja, permainan rangsangan kognitif seperti teka-teki dan catur serta penilaian keupayaan bekerja mengikut keperluan pesakit.

Terapi cara kerja merupakan kaedah intervensi atau rehabilitasi yang dipraktikkan ahli terapi cara kerja terlatih di hospital dan klinik untuk membantu pesakit mengekalkan keupayaan melakukan aktiviti harian termasuk bekerja.

Terapi ini juga bertujuan membantu pesakit mengurus kerja dengan modifikasi tugasan, mengajar teknik mengimbangi kesukaran kognitif dengan cara menggunakan nota, peringatan ringkas atau memecahkan tugasan besar kepada langkah lebih kecil, selain membuat saranan kepada majikan tentang tugas yang sesuai dengan kemampuan pesakit.

“Jika perlu, pakar terapi akan mencadangkan majikan untuk melakukan pengubahsuaian tanggungjawab pesakit atau pindahkan mereka ke jawatan atau unit yang kurang stres serta tidak memerlukan kemahiran berfikir/fungsi eksekutif yang tinggi.

“Majikan turut boleh menimbang jadual waktu kerja lebih anjal serta mengelakkan mereka daripada melakukan tugas pengoperasian mesin atau bahan berbahaya,” cadangnya.

Selain itu, majikan juga boleh mempraktikkan “buddy system” dengan cara memadankan seorang pekerja dengan pesakit EOD sebagai juru pandu, sementara pekerja-pekerja lain diberikan kesedaran tentang kewujudan rakan sekerja yang mempunyai masalah demensia supaya sokongan di tempat kerja dapat diberikan secara lebih efektif.

BERI KESAN KEPADA EKONOMI

Dalam perspektif lebih luas, EOD bukan hanya persoalan klinikal tetapi turut menyentuh kedudukan seseorang dalam pekerjaan, keluarga dan masyarakat, demikian menurut Ahli Jawatankuasa Eksekutif Yayasan Penyakit Alzheimer Malaysia (ADFM) Dr Dinesh Sangarran Ramachandram.

Menurutnya, apabila EOD berlaku pada usia produktif, kesannya melangkaui individu terbabit yang mungkin akan kehilangan pekerjaan dan seterusnya memberi kesan langsung kepada pendapatan isi rumah dan kestabilan keluarga pesakit.

“Oleh sebab itu majikan perlu menilai terlebih dahulu apa yang masih boleh dilakukan pekerja, bukannya terus melihat keputusan diagnosis sebagai penyebab untuk menamatkan terus perkhidmatan kerja mereka. Kita tidak mahu seseorang yang didiagnosis pada usia 50 tahun tiba-tiba kehilangan pekerjaan, rakan-rakan dan akhirnya terputus daripada masyarakat,” tegasnya.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata demensia tidak lagi boleh dianggap sebagai hanya isu penjagaan kesihatan, namun perlu turut dilihat sebagai kerugian ekonomi negara dan industri tenaga kerja.

Memetik hasil kajian terkini yang melibatkan 793 individu dengan EOD di Finland yang diterbitkan jurnal Neurology pada Julai 2026, beliau berkata kajian itu mendapati perbezaan produktiviti kerja berbanding individu tanpa demensia sudah dapat dikesan dalam tempoh hingga 15 tahun sebelum diagnosis.

“Apabila penyelidik melihat rekod prestasi kerja mereka bertahun-tahun sebelum diagnosis, terbukti wujud perbezaan dari segi produktiviti berbanding kumpulan kawalan, dengan jurang perbezaan itu semakin ketara apabila menghampiri tahun diagnosis.

“Ini menunjukkan kesan ini muncul secara perlahan-lahan sebelum seseorang itu menyedari dia mengalami masalah kognitif,” ujarnya yang mengesyorkan agar kajian serupa dijalankan di Malaysia bagi membolehkan langkah-langkah sewajarnya diambil untuk membendung kerugian kepada ekonomi negara amnya.

Walaupun tidak semua kes demensia dapat dicegah, beliau berkata terdapat beberapa langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan risiko.

“Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, hingga 45 peratus risiko berlakunya demensia dikaitkan dengan faktor boleh diubah suai termasuklah ketidakaktifan fizikal, merokok, pengambilan alkohol berlebihan, pengasingan sosial, pencemaran udara serta keadaan kesihatan tidak normal termasuk hipertensi, diabetes dan kolesterol tinggi.

“Semua ini merupakan faktor yang boleh diubah suai atau dikawal dalam usaha untuk kita terus menjaga kesihatan otak, selaras dengan kepentingan untuk kita menjaga kesihatan jantung,” katanya

MEMBINA SISTEM SOKONGAN BERSEPADU

Dinesh Sangarran yang juga pensyarah di Fakulti Farmasi Universiti Monash Malaysia, turut menegaskan kepentingan wujudnya satu sistem sokongan yang menyeluruh merangkumi dasar perlindungan sosial dan perundangan pekerjaan.

“Disebabkan oleh simptom EOD sering menjejaskan fungsi kognitif dan bukannya fizikal luaran, majikan sering tersalah anggap mereka malas atau tidak berprestasi lalu dipecat sebelum diagnosis sebenar disahkan. Ini secara tidak langsung mendedahkan keluarga pesakit kepada risiko krisis kewangan secara drastik akibat kehilangan sumber pendapatan utama tanpa sebarang jaringan keselamatan yang kukuh,” ulasnya.

Justeru, beliau menyarankan agar mekanisme sedia ada menerusi Program Pengurusan Hilang Upaya oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dipertimbangkan sebagai asas untuk memperluas sokongan yang bersesuaian kepada penghidap EOD.

“Walaupun kerangka sedia ada PERKESO ini merangkumi rehabilitasi vokasional, penilaian keupayaan bekerja dan penyesuaian pekerjaan bagi individu yang layak, pertimbangan perlu diberikan tentang bagaimana mekanisme ini boleh diterapkan dengan sewajarnya kepada penghidap EOD, supaya mereka dapat terus menyumbang kepada tenaga kerja mengikut keupayaan masing-masing dan tidak ditamatkan perkhidmatan secara terburu-buru,” katanya.

Menurut beliau lagi, walaupun Malaysia sudah mempunyai langkah permulaan menerusi Pelan Tindakan Demensia 2023–2030, yang antara lain memberi tumpuan kepada pengesanan awal serta pembangunan ekosistem penjagaan lebih holistik, usaha membina masyarakat yang lebih bersedia menghadapi demensia memerlukan kerjasama semua pihak.

“Literasi demensia perlu terus diperkukuh supaya orang ramai dapat mengenali gejala dengan lebih awal dan tepat. Kita juga perlu mewujudkan komuniti mesra demensia yang membolehkan pesakit meneruskan kehidupan seharian secara lebih bermaruah dan tidak terasing daripada masyarakat,” katanya.

Beliau turut menekankan sokongan kepada pesakit perlu bergerak seiring dengan sokongan terhadap keluarga, khususnya pasangan yang masih bekerja dan membesarkan anak ketika pada masa sama berperanan sebagai penjaga.

“Penjaga EOD khususnya, amat memerlukan akses kepada perkhidmatan jagaan lega sementara (respite care), servis kaunseling serta bantuan kewangan,” tambahnya.

Selain itu, beliau berpendapat sistem sokongan yang berkesan juga memerlukan laluan klinikal yang lebih jelas; daripada pengesanan awal hingga penjagaan berterusan; selain kerjasama multidisiplin lebih utuh membabitkan doktor, ahli terapi, pekerja sosial dan organisasi komuniti.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This