Yayasan MSU; Pelajar Terbaik Kebangsaan STPM 2025 kategori Orang Asli terima biasiswa penuh

Yayasan MSU; Pelajar Terbaik Kebangsaan STPM 2025 kategori Orang Asli terima biasiswa penuh

SELAYANG,. Management and Science University (MSU), menerusi Yayasan MSU, terus memperkukuh komitmennya dalam menyokong pendidikan berkualiti dengan mengiktiraf pencapaian cemerlang pelajar terbaik kebangsaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025.

Inisiatif tersebut selaras dengan Pelan Strategik Kementerian Pendidikan Malaysia (PSKPM) 2024-2030 yang menekankan usaha memastikan akses kepada pendidikan berkualiti dapat diberikan kepada semua pelajar tanpa mengira latar belakang atau lokasi, selain memperkukuh bidang pendidikan sebagai sektor utama pembangunan negara.

Sebagai sebahagian daripada usaha berkenaan, MSU menyumbang sejumlah RM60,000 kepada enam Kolej Tingkatan Enam Terbaik Kebangsaan dan enam Pusat Tingkatan Enam Terbaik Kebangsaan (Mod 2 dan Mod 3) bagi STPM 2025.

Setiap institusi menerima sumbangan tunai sebanyak RM5,000 sebagai penghargaan terhadap kecemerlangan akademik yang dicapai.

Selain itu, MSU turut menawarkan biasiswa bernilai RM15,000 kepada pelajar daripada Pusat Tingkatan Enam Terbaik Kebangsaan yang berjaya mendapat kemasukan ke program pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di universiti berkenaan.

Universiti itu juga menyampaikan sumbangan tunai RM1,000 serta biasiswa penuh daripada Yayasan MSU kepada Pelajar Terbaik Kebangsaan STPM 2025 bagi kategori Orang Asli, Hazaril Hakimi Hassan dari SMK Temerloh, Pahang, yang mencatatkan pencapaian cemerlang dengan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dengan keputusan 4A.

Menurut MSU, inisiatif tersebut bertujuan menggalakkan lebih ramai pelajar mengikuti pengajian STPM dan diperkenalkan buat julung kalinya bagi kohort STPM 2025 sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh ekosistem pendidikan pra universiti negara, khususnya dalam kalangan pelajar Tingkatan Enam.

Anugerah berkenaan disampaikan sempena Majlis Anugerah Pelajar Terbaik STPM 2025 yang turut mengiktiraf pencapaian cemerlang dalam Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) serta Sijil Kecekapan Bahasa Melayu bagi Warga Asing (SKBMW), yang berlangsung baru-baru ini di Majlis Peperiksaan Malaysia, Selayang.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh, Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia merangkap Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Mohd Azam Ahmad serta Presiden dan Pengasas MSU Profesor Tan Sri Dato’ Wira Dr Mohd Shukri Ab. Yajid.

Kerjasama tersebut mencerminkan komitmen bersama kerajaan dan institusi pengajian tinggi dalam memacu kecemerlangan akademik serta memperluas peluang pendidikan kepada pelajar berprestasi tinggi di seluruh negara.

CATEGORIES
Share This