Untung bersih Affin Bank susut kepada RM123.57 juta bagi suku pertama

Untung bersih Affin Bank susut kepada RM123.57 juta bagi suku pertama

KUALA LUMPUR,. Affin Bank Bhd mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah iaitu sebanyak RM123.57 juta bagi suku pertama berakhir pada 31 Mac, 2020 berbanding RM137.23 juta semasa suku yang sama tahun lepas.

Penurunan itu berikutan peruntukan tambahan untuk kerugian susut nilai kredit sebanyak RM117.1 juta berbanding dengan masuk kira semula RM9.9 juta pada suku yang sama 2019 serta perbelanjaan overhed lebih tinggi sebanyak RM27.7 juta.

“Namun, prestasi ini disokong oleh keuntungan bersih lebih tinggi daripada penjualan instrumen kewangan iaitu RM136.1 juta dan peningkatab pendapatan fi dan komisen bersih lebih tinggi sebanyak RM13.7 juta,” katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

Perolehan bagaimanapun meningkat kepada RM630.37 juta daripada RM472.52 juta bagi tempoh yang sama.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Affin Bank berkata pendapatan faedah bersih bagi suku tersebut susut sebanyak RM15 juta atau 7.9 peratus daripada angka pada suku yang sama 2019 sejajar dengan penurunan pelaburan kewangan sebanyak RM692.2 juta serta pinjaman, pendahuluan dan pembiayaan sebanyak RM477.5 juta.

“Bagi suku pertama 2020, pinjaman kasar, pendahuluan dan pembiayaan keseluruhan syarikat susut 6.2 peratus tahun ke tahun kepada RM45.5 bilion susulan penyusunan semula portfolio pinjaman, dengan menumpukan perniagaan perbankan pengguna serta perusahaan kecil dan sederhana,” menurutnya.

Sejajar dengan penurunan pinjaman kasar, pendahuluan dan pembiayaan, deposit pelanggan bank juga telah diimbangi kembali sebanyak 16 peratus tahun ke tahun kepada RM48 bilion pada suku pertama 2020, berbanding deposit tetap berkos tinggi dan menumpukan deposit runcit.

“Bank juga mencatatkkan pertumbuhan stabil bagi akaun semasa akaun simpanan (CASA) sebanyak 3.4 peratus tahun ke tahun kepada RM9.1 bilion,” kata Affin Bank.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )