“Bukan saya cadang Mukhriz jadi TPM” – Dr Mahathir

“Bukan saya cadang Mukhriz jadi TPM” – Dr Mahathir

KUALA LUMPUR,. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, cadangan melantik anaknya, Datuk Seri Mukhriz sebagai calon Timbalan Perdana Menteri bukan datang daripadanya.

Menurut Dr Mahathir, beliau tidak ada hak untuk menentang kerana kepentingan dirinya apabila nama Mukhriz dicadang untuk jawatan-jawatan tertentu,

“Saya sedar saya akan dikritik apabila menamakan anak saya Mukhriz sebagai Timbalan Perdana Menteri II.

“Cadangan ini tidak datang dari saya. Dalam kenyataan bersama Mohamad bin Sabu, Ketua Parti Amanah dan Lim Guan Eng, DAP pada 22 Jun, pelantikan Mukhriz sebagai TPM II sudahpun disebut.

“Saya berada dalam keadaan serba salah,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dr Mahathir menjelaskan, ketika kali pertama menjadi Perdana Menteri, beliau melarang anaknya bergiat dalam politik, khusus sebagai ahli parti kerajaan kerana tidak mahu dituduh mengamalkan nepotisme.
“Di waktu saya jadi Perdana Menteri kali pertama, saya telah larang anak saya dari bergiat dalam politik, khusus sebagai ahli parti kerajaan. Saya tidak hendak dituduh mengamal nepotisme, memberi keistimewaan kepada keluarga saya.

“Tetapi apabila saya tidak lagi menjadi Perdana Menteri, tanggungjawab menjaga nama saya, tidak sepatutnya dipikul berterusan oleh anak saya. Mereka dibebas untuk berpolitik. Jaya atau tidaknya politik mereka bergantung kepada diri mereka.

“Apabila nama Mukhriz dicadang untuk jawatan-jawatan tertentu, saya tidak ada hak untuk menentang kerana kepentingan diri saya,” katanya lagi.

Beliau juga menegaskan penjelasannya tentang pemilihan Mukhriz itu akan dipercayai dan mungkin tidak akan diterima terutama bagi yang bermusuh dengannya.

“Sama ada penjelasan saya ini dipercayai atau tidak, terpulanglah kepada masing-masing.

“Sudah tentu orang yang bermusuh dengan saya, akan bercakap sinis. Ini saya terima kerana memang pun ia adalah naluri manusia,” katanya.

Pada Sabtu, Dr Mahathir mengumumkan gabungan parti yang menyokong beliau iaitu DAP, Amanah, Warisan dan beberapa pemimpin Bersatu yang terhenti keahlian bersetuju untuk mencalonkan Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai perdana menteri sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Gabungan yang dikenali sebagai PH Plus itu turut menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri 1 dan Mukhriz sebagai Timbalan Perdana Menteri 2.

DAP dan Amanah melihat cadangan ini sebagai suatu opsyen baharu bagi Pakatan Harapan dalam usaha mereka kembali membentuk kerajaan pusat.

Namun kedua-dua parti itu berpendapat cadangan tersebut perlu dibincangkan di peringkat kepimpinan pusat Amanah dan DAP terlebih dahulu.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )