UITM DISARAN WUJUDKAN JABATAN KUANTUM, PASTIKAN NEGARA TIDAK KETINGGALAN – AHMAD ZAHID

UITM DISARAN WUJUDKAN JABATAN KUANTUM, PASTIKAN NEGARA TIDAK KETINGGALAN – AHMAD ZAHID

SHAH ALAM,. Universiti Teknologi MARA (UiTM) disarankan menubuhkan Jabatan Kuantum supaya negara tidak ketinggalan dalam mendepani kemajuan semasa, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata jabatan berkenaan disasarkan untuk diwujudkan pada tahun hadapan bagi memastikan kepakaran tempatan dapat dipupuk seawal mungkin.

“Kecerdasan buatan (Al) memang baik dan dijalankan dengan cukup baik, namun kuantum ialah teknologi baharu berdasarkan dapatan teknologi terkini dan Malaysia tidak harus ketinggalan dalam perkara ini.

“Saya amat yakin potensinya cukup besar bagi mengambil ramai pelajar untuk memasuki pengajian ini dan akhirnya dalam kurang daripada satu dekad akan melahirkan pakar-pakar kuantum di negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Wacana Semarak Patriotisme: Seminar Ilmuwan Islam di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM, di sini hari ini.

Teknologi kuantum ialah bidang sains dan kejuruteraan canggih yang memanfaatkan sifat mekanik kuantum seperti superposisi dan keterlibatan zarah subatom untuk memproses maklumat pada kelajuan luar biasa.

Ahmad Zahid berkata pihaknya juga akan menyumbang sebanyak RM500,000 kepada UiTM bagi menyokong pembangunan program seperti Program Latihan dan Pensijilan TVET UiTM Dihatiku, UTAMA PLUS UiTM AI Certified termasuk bagi pembangunan Jabatan Kuantum.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This