Tun Dr Mahathir ziarah pusara Tun Dr Siti Hasmah

Tun Dr Mahathir ziarah pusara Tun Dr Siti Hasmah

PUTRAJAYA,. Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menziarahi pusara Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di Pusara Negara di sini pada 11.05 pagi, empat hari selepas pemergian isteri beliau itu.

Kehadiran Dr Mahathir yang ditemani anggota keluarga menarik perhatian orang ramai yang berada di kawasan Pusara Negara untuk menziarahi pusara Allahyarham.

Beliau berada kira-kira 20 minit di pusara Allahyarham sebelum beredar perlahan-lahan dalam suasana hening diselubungi hiba dan kesayuan.

Dr Mahathir turut dilihat sebak dan menitiskan air mata dalam mengenang Allahyarham Dr Siti Hasmah yang telah bersama-sama di sisinya selama tujuh dekad.

Orang ramai yang berada di pusara Allahyarham turut berkongsi rasa kepiluan itu memberikan ruang dan penghormatan kepada beliau.

Kira-kira 200 orang hadir ke Pusara Negara hari ini bagi menziarahi dan memberikan penghormatan kepada Allahyarham, termasuk kalangan ahli keluarga, rakan serta orang awam.

Terdahulu, anak sulung pasangan itu, Datin Paduka Marina Mahathir hadir menziarahi pusara ibunya pada kira-kira 10 pagi.

Sementara itu, antara yang turut menziarahi ialah bekas jaguh badminton negara Datuk Seri Dr Lee Chong Wei, penyanyi Datuk Ramli Sarip dan Ahli Parlimen Putrajaya Datuk Dr Radzi Jidin.

Berkongsi dengan media, Chong Wei berkata antara kenangan yang tidak dapat dilupakannya adalah sikap Dr Siti Hasmah yang sentiasa menghubungi atlet untuk bertanya khabar, terutama selepas mereka menyertai sesuatu kejohanan.

“Apabila beliau datang berjumpa kami di stadium, beliau akan tanya seorang demi seorang. ‘How are you? Beliau ingat keperluan setiap atlet.

“Beliau sentiasa mengambil berat tentang kami. Itu yang kami (rasa) kehilangan, seorang tokoh yang begitu dekat dengan badminton,” katanya.

Chong Wei berkata Dr Siti Hasmah turut memberikan kata-kata semangat ketika atlet berdepan kekalahan di samping terus menyokong mereka tanpa mengira keputusan yang dicapai.

“Ketika kami menang, beliau akan hantar mesej kepada kami..apabila kami kalah, ketika itulah kami lebih memerlukan sokongan dan beliau tidak pernah berputus asa dengan kami.

“Beliau akan telefon atau hantar mesej dan berkata, ‘It’s okay, you try your best, you have played very well’. Jangan berputus asa, teruskan usaha. Itu yang saya tidak akan lupakan sepanjang karier saya sebagai atlet,” katanya.

Chong Wei berkata beliau menerima berita pemergian Dr Siti Hasmah ketika berada di Nagoya, Jepun selepas selesai menyertai kejohanan di Filipina.

“Saya rasa seluruh pasukan badminton turut bersedih dengan berita itu. Kami hanya mampu mendoakan beliau,” katanya.

Beliau berkata sebaik tiba di Malaysia, beliau bersama isteri yang juga bekas pemain badminton negara, Datin Seri Wong Mew Choo terus menziarahi pusara Dr Siti Hasmah sebagai tanda penghormatan terakhir.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This