Tiada larangan penumpang duduk sebelah pemandu – Ismail Sabri

Tiada larangan penumpang duduk sebelah pemandu – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR,. Video yang tular di media sosial semalam menyatakan seorang pemandu disaman kerana isterinya duduk di bahagian penumpang hadapan adalah berniat jahat dan cuba merosakkan imej pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata tiada ketetapan yang melarang penumpang duduk di sebelah pemandu sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Perkara ini saya telah jawab beberapa kali bahawa tidak ada ketetapan yang memerlukan mereka yang menaiki kenderaan, seorang kena duduk hadapan seorang duduk di belakang. Malah, jika datang daripada satu keluarga tidak memakai pelitup muka di dalam kereta pun tidak salah, namun semalam ada seorang pemandu menyebarkan video kononnya disaman kerana perkara itu.

“Setelah disiasat, didapati individu itu dikenakan tindakan kerana menggunakan telefon bimbit semasa memandu,” katanya dalam sidang media harian pelaksanaan PKPP di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta polis mengambil tindakan segera terhadap individu berkenaan termasuk yang menyebarkan klip video di media sosial kerana memburukkan imej PDRM.

Mengulas tentang rungutan kos kuarantin yang tinggi dikenakan terhadap individu bukan berasal dari Sarawak yang ingin masuk dan pulang ke Sarawak, Ismail Sabri berkata mereka yang kurang berkemampuan boleh mendapatkan pengurangan atau pengecualian.

Permohonan itu katanya boleh dikemukakan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak.

“ … seperti kita di Semenanjung, contohnya mereka yang pulang dan tidak mampu membayar kos kuarantin, boleh merayu kepada Menteri Kesihatan sama ada untuk mengurangkan, malah untuk mengecualikan bayaran pun boleh, tetapi dengan alasan tertentu.

“Menteri Kesihatan boleh menggunakan kuasanya mengikut Akta 342 (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) untuk mengecualikan atau mengurangkan bayaran,” katanya.

Berhubung isu penutupan pusat jagaan kanak-kanak dan taska semasa PKPB, Ismail Sabri berkata perkara itu sedang diperincikan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan penjelasan mengenainya akan diumumkan Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun tidak lama lagi.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )