Sultan Nazrin berangkat ke Program Menyemai Semangat Kesetiaan Kepada Raja dan Negara

Sultan Nazrin berangkat ke Program Menyemai Semangat Kesetiaan Kepada Raja dan Negara

IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke Program Menyemai Semangat Kesetiaan Kepada Raja dan Negara sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat Negeri Perak Tahun 2023 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, malam ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Keberangkatan tiba baginda pada 8.35 malam disambut Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri Datin Seri Aezer Zubin, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil serta Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Program di bawah kelolaan bersama Dewan Negara Perak dan Jabatan Pendidikan Negeri dengan pembiayaan dan sokongan kerajaan negeri itu turut diisi dengan Pertandingan Akhir Pidato Diraja melibatkan dua kategori iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, selain Persembahan Johan Bicara Berirama dan Choral Speaking.

Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan hadiah juara pertandingan pidato Bahasa Inggeris sekolah menengah atas yang dimenangi oleh Muhammaf Asyraf Rosman dari Sekolah Menengah Kebangsaan Buyong Adil, Batang Padang.

Rafaa Ahmad Muneer dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kerian pula mengungguli pertandingan pidato Bahasa Melayu sekolah menengah atas, dengan kedua-dua mereka menerima hadiah wang tunai berjumlah RM750 serta piala pusingan.

Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan hadiah untuk pertandingan melukis poster (kategori sekolah rendah), pertandingan melukis karikatur (kategori sekolah menengah), pertandingan menulis sajak (kategori sekolah menengah) dan pertandingan choral speaking sekolah menengah.

Selain itu, Sultan Nazrin berkenan menyampaikan hadiah pertandingan bicara berirama sekolah menengah, pertandingan menulis esei Bahasa Melayu kategori sekolah menengah, pertandingan menulis esei Bahasa Inggeris sekolah rendah dan pertandingan pidato Bahasa Inggeris kategori sekolah rendah.

Baginda turut berkenan menyampaikan hadiah untuk pertandingan pidato Bahasa Melayu kategori sekolah rendah dan kategori sekolah menengah. Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa program tersebut Tan Sri Annuar Zaini dalam sembah ucapannya berkata program itu mendapat sambutan luar dugaan iaitu 564,281 penyertaan pada tahun ini berbanding 15,399 penyertaan pada 2017.

“Peserta-peserta terdiri daripada pelbagai kaum. Bilangan penyertaan yang tinggi membuktikan semangat, kesungguhan, komitmen dan dedikasi pengarah dan warga Jabatan Pendidikan memecahkan ruyung menterjemahkan idea menjadi realiti,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )