Keciciran pembelajaran semasa pandemik COVID-19 pengaruhi pencapaian PISA
PUTRAJAYA,. Keciciran pembelajaran atau learning lost yang berlaku ketika pandemik COVID-19 antara faktor yang mempengaruhi pencapaian murid Malaysia dalam laporan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022, yang menunjukkan skor penurunan dalam tiga domain literasi.
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah) Azman Adnan berkata pencapaian Malaysia dalam PISA 2022 menunjukkan penurunan bagi tiga literasi yang ditaksir iaitu bacaan, matematik dan saintifik.
Beliau berkata skor purata bagi literasi matematik pada PISA 2022 menurun sebanyak 31 mata kepada 409 berbanding pencapaian 440 mata pada PISA 2018, literasi saintifik menurun kepada 416 (PISA 2018: 438 mata), manakala literasi bacaan merosot 27 mata kepada 388 (PISA 2018:415 mata).
“Skor purata murid Malaysia adalah lebih rendah berbanding skor purata Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) bagi ketiga-tiga literasi,” katanya dalam sidang media mengumumkan pencapaian Malaysia dalam PISA 2022 di sini semalam.
PISA merupakan kajian pentaksiran antarabangsa yang mengukur pencapaian pelajar berumur 15 tahun dan ke atas dalam literasi saintifik, bacaan dan matematik serta program pentaksiran dan kajian perbandingan antarabangsa anjuran OECD.
Sebanyak 81 negara antaranya Jerman, Kanada, dan New Zealand mengambil bahagian dalam PISA 2022.
Ia merupakan kali kelima Malaysia mengambil bahagian dalam PISA iaitu selepas 2010, 2012, 2015 dan 2018, dan pada pusingan PISA 2022, ia dilaksanakan di 199 institusi pendidikan termasuk sekolah bandar, luar bandar, pedalaman serta swasta melibatkan 7,069 pelajar yang dipilih sebagai sampel kajian.
Azman berkata secara keseluruhan di Malaysia, pencapaian murid perempuan dalam PISA 2022 adalah lebih tinggi berbanding murid lelaki dalam ketiga-tiga literasi tersebut.
Mengenai soal selidik murid yang turut dijalankan bersama PISA 2022, katanya peratus pelajar yang melaporkan persepsi positif tentang pengalaman pembelajaran di rumah adalah lebih tinggi berbanding peratus dalam kalangan pelajar negara OECD.
“Di Malaysia, sebanyak 76.3 peratus pelajar merindui aktiviti sekolah dan fizikal lain dianjurkan sekolah semasa penutupan sekolah berbanding 57 peratus direkodkan pelajar negara OECD,” katanya.
Beliau berkata soal selidik itu juga mendapati 72.9 peratus murid Malaysia bersetuju bahawa kemahiran menggunakan peranti digital untuk tujuan pembelajaran telah meningkat berbanding 63 peratus oleh OECD.
Menurutnya dapatan mendapati 44.1 peratus pelajar di Malaysia tidak pernah mengalami masalah mendapatkan peranti digital apabila memerlukannya berbanding 47.1 peratus dicatat OECD, manakala 19.6 peratus murid tidak mengalami masalah untuk mengakses Internet berbanding 33.1 yang direkod OECD.
“Kita akan perhalusi semua dapatan ini untuk kita perincikan dan daripada situ kita akan melihat apa strategi dan intervensi yang sesuai untuk kita perkukuhkan kualiti pendidikan pada masa akan datang,” katanya.
Azman berkata Malaysia berhasrat menyertai PISA 2025.
–BERNAMA