COVID-19: Kes baharu catat 2,195, lapan lagi kematian – Dr Noor Hisham

COVID-19: Kes baharu catat 2,195, lapan lagi kematian – Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR,. Kes baharu COVID-19 menurun sedikit dengan mencatat 2,195 kes berbanding 2,331 dilaporkan semalam menjadikan jumlah kumulatif jangkitan wabak itu di Malaysia setakat ini 375,054 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (gambar) dalam Twitter rasmi memaklumkan Sarawak kembali menjadi negeri dengan kes baharu tertinggi hari ini dengan 508 kes, diikuti Selangor (431), Johor (387) dan Kelantan 332 kes.

Sejumlah 176 kes direkod di Kuala Lumpur, Sabah (112), Pulau Pinang (84), Negeri Sembilan (42), Perak (35), Kedah (30), Terengganu (16), Melaka dan Pahang masing-masing mencatat 15 kes, Labuan (6), Putrajaya (3) dan Perlis (3).

Kes sembuh pula mencatat 1,427 kes dengan 219 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 90 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Lapan lagi kematian direkod hari ini menjadikan jumlah keseluruhan rakyat Malaysia yang meninggal dunia akibat pandemik itu mencecah 1,378 orang setakat semalam.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan satu lagi kluster sekolah atau institusi pendidikan tinggi hari ini yang melibatkan kes di Sarawak.

Ia termasuk dalam lima kluster lagi yang dikenal pasti hari ini, dengan tiga daripadanya melibatkan kluster tempat kerja dan satu kluster komuniti.

“Kluster sekolah atau institusi pendidikan tinggi KPM (Kementerian Pendidikan) itu ialah Kluster Jalan Bintulu, Sibu yang melibatkan daerah Tatau dan Bintulu di Sarawak.

“Kluster ini melibatkan pelajar dan kakitangan sebuah pusat pendidikan yang terletak di Jalan Bintulu Sibu, Tatau. Sehingga hari ini, sejumlah 546 individu disaring, dengan 11 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” katanya.

Sementara itu, kluster tempat kerja ialah Kluster Selat Klang dan Kluster Tapak Bina Cahaya Alam di Selangor; Kluster Jalan Perindustrian Satu di Johor; serta kluster komuniti iaitu Kluster Tarat Tani di Sarawak.

Semalam KKM mengesan tiga sekolah atau institusi pendidikan tinggi iaitu Kluster Ulu Balingian (Sarawak), Jalan Disa (Sarawak) dan Jalan Maktab (Selangor).

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )