Shahruddin letak jawatan Timbalan Menteri Kerja Raya, kekal sokong PN

Shahruddin letak jawatan Timbalan Menteri Kerja Raya, kekal sokong PN

JOHOR BAHRU,. Ahli Parlimen Sri Gading Datuk Dr Shahruddin Md Salleh hari ini mengesahkan meletak jawatan sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya.

Perkara itu dimaklumkan Shahruddin kepada Bernama menerusi WhatsApp, selepas tular di media sosial mengenai peletakan jawatannya hari ini.

“Ya, benar (saya meletakkan jawatan),” katanya ringkas.

Shahruddin, bagaimanapun memaklumkan bahawa beliau kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“(Saya) backbencher PN,” katanya semasa ditanya mengenai pendiriannya sama ada beliau kekal menyokong PN atau sebaliknya berikutan keputusan meletak jawatan itu.

Terdahulu menerusi mesej yang tular berhubung peletakan jawatannya, Shahruddin menjelaskan beliau memutuskan untuk meletak jawatan itu setelah merasakan keputusannya menyertai kerajaan PN kurang tepat dan mahu memperbetulkan tindakan tersebut.

“Saya seharusnya meletakkan keutamaan kepada pengundi Parlimen Sri Gading yang memilih Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

“Sebagai langkah awal bagi memperbetulkan kesilapan ini, maka saya meletak jawatan kerana saya dilantik ke jawatan ini oleh Perdana Menteri daripada kerajaan PN,” kata bekas Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

Sementara itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, ketika dihubungi Bernama turut mengesahkan surat peletakan jawatan timbalannya itu telah diserahkan Shahruddin sendiri kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, petang tadi.

“Ya, dia (Shahruddin) sudah maklumkan kepada saya yang dia letak jawatan sebagai Timbalan Menteri (Kerja Raya), namun beliau masih menyokong PN.

“Dia beri salinan (surat peletakan jawatan) kepada saya,” katanya.

Sementara itu dalam entri di laman sosial Tun Dr Mahathir Mohamad, dilaporkan Shahruddin ada mengadakan pertemuan dengan bekas perdana menteri itu di ibu negara petang tadi.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )