AirAsia tamatkan perkhidmatan 300 pekerja

AirAsia tamatkan perkhidmatan 300 pekerja

KUALA LUMPUR,. Seramai lebih 300 pekerja AirAsia Bhd bakal dihentikan perkhidmatan mereka oleh syarikat penerbangan tambang murah itu dalam usaha pengecilan operasi susulan daripada situasi sukar akibat wabak COVID-19.

Memetik laporan media, pemberhentian yang diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Riad Asmat dalam sesi taklimat dalaman tengah hari tadi, dijangka membabitkan 111 kru kabin daripada 1,900 kru, 172 juruterbang dan 50 jurutera.

“Kesemua yang akan terbabit dalam skim pemberhentian itu akan dimaklumkan menerusi e-mel dalam tempoh 24 jam. AirAsia juga menjanjikan pampasan kepada semua yang terbabit,” menurut laporan tersebut.

Selain tidak mempunyai pelbagai pilihan dalam memastikan AirAsia terus beroperasi seperti sebelum ini, Riad berkata penstrukturan semula organisasi dilihat sebagai alternatif yang boleh diambil buat masa ini kerana situasi yang dihadapi kini adalah amat sukar.

Laporan itu turut menyatakan syarikat penerbangan jarak jauh AirAsia X turut akan melakukan pengurangan tenaga kerja, termasuk pekerja asing.

Bagaimanapun, tiada jumlah sebenar petugas yang diumumkan dan pemberhentian tersebut bakal membabitkan tenaga kerja pelbagai sektor termasuk pengurusan, operasi, kru dan juruterbang.

-BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )